Lynas Malaysia wajar dib.eri peluang untuk mempertahankan rekod pengawalseliaan serta persekitarannya secara terbuka sejak ia mula beroperasi pada 2012. - MABC
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pendirian kerajaan Pakatan Harapan (PH) membenarkan operasi Lynas seharusnya diikat bersama undang-undang dan penguatkuasaan lebih ketat.

Ini bukan sahaja bagi mengelakkan implikasi negatif ketika tragedi Sungai Kim-Kim malah lebih dahsyat lagi tragedi yang berlaku di Bukit Merah pada era 1980-an.

Menurut Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir, usaha penguatkuasaan undang-undang lebih ketat itu mustahak memandangkan operasi Lynas Advance Material Plant (LAMP) turut menghasilkan bahan radioaktif seperti sisa penulenan air larut resap (WLP).

Che Alias Abd Hamid
Che Alias Abd Hamid

Ia juga, katanya, menghasilkan dua residu bahan bukan radioaktif seperti Gypsum Magnesium (NUF) dan Gypsum Sintetik (FGD) walaupun secara asasnya operasi LAMP bukanlah sebuah loji nuklear atau aktiviti perlombongan yang menghasilkan uranium dan sebagainya.

“Oleh itu saya gesa kerajaan memperketatkan undang-undang sedia ada selain memperkemaskan aspek penguatkuasaan undang-undang bagi mengelakkan kejadian yang lebih buruk berlaku pada masa akan datang.

“Langkah berjaga-jaga yang ketat seperti ini penting bagi memastikan pematuhan penuh terhadap aspek perundangan yang ada, selain tindakan tegas dapat diambil bagi mana-mana syarikat yang cuai,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Abd Hamid pula berkata, kenyataan  Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam adalah kata putus pendirian kerajaan PH mengenai pengoperasian Lynas.

Bagaimanapun, ujar beliau, pendirian itu perlu diikat bersama pra-syarat membaharui lesen kilang LAMP yang telah dikemukakan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Perubahan Iklim (MESTECC) hujung tahun lalu.

Secara asasnya, pra-syarat itu seiring dengan syor Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi LAMP 2018 yang ditubuhkan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 September lalu bagi melakukan penilaian terhadap aspek keselamatan, kesihatan manusia dan alam sekitar.

Justeru, kata beliau, syor serta pra-syarat yang dikemukakan terhadap Lynas itu tidak boleh dianggap remeh serta memerlukan pemantauan berterusan dan sistematik.

“Meskipun laporan keseluruhan yang dikeluarkan terhadap Lynas termasuk penilaian oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) mendapati operasinya mematuhi segala peraturan dan sangat terkawal.

“Pemantauan yang konsisten ini bagi memastikan supaya tidak timbul masalah yang lebih rumit pada masa akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette