Presiden Kesatuan Moulana Masjid India Friend's (MMF), Moulana Vilayatvaly Abdur Raheem (kiri) diiringi Setiausaha MMF, Syed Ansari Sikkandar (dua kiri) menyerahkan sumbangan kepada sebahagian gelandangan sempena Hari Raya Aidilfitri di Restoran ABC Cafe, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 03 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Kurang 48 jam Ramadan lagi Hari Raya Aidilfitri namun masih ramai pihak yang tidak berhenti memberikan sumbangan.

Apatah lagi dengan menyediakan juadah berbuka puasa walaupun hanya tinggal sehari lagi Ramadan bakal melabuhkan tirainya.

Biarpun usia Kesatuan Moulana Masjid India Friend’s (MMF) masih setahun jagung namun ia tidak menghalang pertubuhan itu daripada memberi sumbangan.

Bermula dengan menyediakan hidangan iftar sehingga 3,500 bungkus makanan sejak 29 Mei lalu dan kini pemberian duit raya kepada golongan tidak bernasih baik di sekitar ibu negara.

Menurut Pengerusi MMF, Moulana Vilayatvaly Abdur Raheem, pihaknya terpanggil untuk menyalurkan bantuan berkenaan sebagai memenuhi tanggungjawab kifayah apatah lagi kebanyakan ahli mereka merupakan ahli perniagaan.

“Hari ini saja kami membuat sumbangan kepada 50 penerima, lepas ini kami berhajat beri sumbangan setiap bulan dan beri kepada golongan yang memerlukan bagi menyuburkan suasana muhibbah, tanpa mengira agama, bangsa.

“Kita buat (sumbangan) secara persendirian, kalau kita buat dengan agensi kerajaan (sebab) ia akan memakan masa, jadi kami tak mahu penerima ini terpaksa menunggu (bantuan).

“Kita (ahli) sendiri banyak anak syarikat, kita berkongsi dan kerja dalam kumpulan, kita kutip sumbangan, kemudian kita akan memberikan kepada golongan memerlukan,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan duit raya kepada 50 penerima di sekitar Jalan Masjid India hari ini.

Moulana Vilayatvaly Abdur Raheem
Presiden Kesatuan Moulana Masjid India Friend’s (MMF), Moulana Vilayatvaly Abdur Raheem bercakap kepada media selepas menyerahkan sumbangan kepada sebahagian gelandangan sempena Hari Raya Aidilfitri di Restoran ABC Cafe, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 03 JUN 2019

Pada 29 Mei lalu, MMF menyediakan 3,500 bungkus juadah berbuka puasa dan diedarkan kepada golongan yang memerlukan termasuk dalam kalangan gelandangan, fakir dan miskin di sekitar ibu negara.

Antara lokasi tumpuan penerima sumbangan makanan tersebut ialah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Institut Jantung Negara (IJN), Madrasah Brickfield, Rumah Anak Yatim di Jalan Ipoh dan 700 bungkusan diedarkan di hadapan Masjid India.

Moulana Vilayatvaly juga tidak menolak untuk menukar bentuk sumbangan makanan kepada bantuan duit tunai pada masa akan datang kepada golongan asnaf khususnya fakir dan miskin, orang kurang upaya (OKU) serta rumah kebajikan.

Katanya, kaedah berkenaan lebih efektif dan menepati keperluan penerima bagi mengelakkan lambakan serta pembaziran jika sumbangan itu diberikan dalam bentuk makanan atau barang keperluan.

“Wang tunai amat diperlukan oleh semua masyarakat, kalau kita bagi beras, takut dia jual beras ambil duit.

“Sumbangan wang tunai itu terbaik bagi saya, kalau kita beri nasi takut mereka (penerima) akan buang di tepi jalan, kita tak nak pembaziran, bagi tunai selesai masalah kami.

“Lepas ini kita beri wang tunai kepada mereka yang memerlukan, mudah bagi mereka, boleh guna beli-belah untuk anak-anak mereka, mereka tahu apa yang sesuai dengan anak-anak mereka,” katanya.

Moulana Vilayatvaly turut menggunakan pendekatan memberi sumbangan tanpa mengaibkan penerima kerana ada dalam kalangan mereka berasa malu untuk ke hadapan untuk meminta bantuan.

“Zaman sekarang semua orang memerlukan (bantuan) cuma mereka tak buka mulut beritahu mereka dalam kesusahan.

“Sebelum ini kita beri nasi, kita letak dalam kanopi supaya siapa yang memerlukan dia boleh datang, kita pun kena jaga aib orang juga, bila kita jaga aib orang, nanti Allah jaga aib kita nanti,” katanya.

Syed Ansari Sikkandar
Setiausaha Kesatuan Moulana Masjid India Friend’s (MMF), Syed Ansari Sikkandar selepas menyerahkan sumbangan kepada sebahagian gelandangan sempena Hari Raya Aidilfitri di Restoran ABC Cafe, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 03 JUN 2019

Sementara itu, Setiausaha Kesatuan MMF, Syed Ansari Sikkandar pula berkata, pihaknya juga akan melihat keperluan lain bagi memenuhi keperluan golongan tidak bernasib baik termasuk bantuan persekolahan pada masa akan datang.

“Kita juga akan memberikan sumbangan pada masa akan datang, bukan untuk berbuka puasa saja, ramai penaja telah memberi bantuan dan sokongan kepada kita, kita memang perlukan sokongan mereka pada masa-masa akan datang dan kita akan buat lebih baik pada tahun ini.

“Mungkin pada masa akan datang kita akan beri 8,000 bungkusan atau bantuan lain seperti pakaian, persekolahan dan sebagainya, kita akan usahakan.

“Kesatuan ini baru ditubuhkan, sokongan yang kami terima menggalakkan. Kita berjanji akan buat yang terbaik selepas ini,” katanya.

MGF03062019_MMF SUMBANGAN_03
Setiausaha Kesatuan Moulana Masjid India Friend’s (MMF), Syed Ansari Sikkandar (dua kiri) menyerahkan sumbangan kepada sebahagian gelandangan sempena Hari Raya Aidilfitri sambil diperhatikan Presiden MMF, Moulana Vilayatvaly Abdur Raheem (kiri) di Restoran ABC Cafe, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 03 JUN 2019

MMF turut mengalu-alukan mana-mana pihak untuk bekerjasama dengan pertubuhan itu untuk menyalurkan maklumat golongan yang memerlukan bagi memudahkan pihaknya menyalurkan bantuan segera.

Orang ramai juga digalakkan terus menghubungi Moulana Vilayatvaly di talian 016-616 1619 atau boleh datang terus ke pejabatnya di No 34, Lebuh Ampang, Kuala Lumpur untuk menyalurkan maklumat penerima bantuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast