KUALA LUMPUR – Pemerolehan 12 Pesawat Tanpa Pemandu (UAV) ScanEagle daripada Amerika Syarikat (AS) dibiayai sepenuhnya oleh negara kuasa besar itu dan ia tidak melibatkan sebarang kos kepada kerajaan Malaysia.

Kementerian Pertahanan berkata, ia adalah sebahagian inisiatif AS melalui Program Inisiatif Keselamatan Maritim (MSI) menyediakan bantuan dalam bentuk keupayaan (aset) dan kapasiti (latihan) kepada negara-negara rakan termasuk Malaysia bagi membantu meningkatkan Maritime Domain Awareness (MDA) di rantau Asia Tenggara.

“Ia dibiayai sepenuhnya oleh AS dan tidak melibatkan kos dari kerajaan negara ini dan Tentera Laut Diraja Malaysia akan menerina aset ini secara berperingkat bermula 2019 hingga 2022.

“Kumpulan pertama sebanyak enam ScanEagle UAV dijangkakan pemerolehannya pada pertengahan November ini,” kata kementerian itu dlam kenyataan hari ini.

Penjelasan itu menyusul ekoran laporan media tempatan berhubung perolehan 12 UAV ScanEagle daripada AS.

Tambah kementerian itu, selain daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), agensi-agensi penguatkuasa lain turut menerima manfaat di bawah program MSI bagi meningkatkan keupayaan pengawasan maritim dan perkongsian maklumat dalam kalangan agensi penguatkuasa dan ATM.

Menurut kenyataan itu lagi, ScanEagle dapat membantu Malaysia dalam membuat pengawasan maritim sementara Kementerian Pertahanan membuat perolehan dua Maritime Patrol Aircraft (MPA) dan tiga Medium Altitude Long Endurance Unmanned Airborne System (MALE UAS) yang akan disempurnakan dalam Rancangan Malaysia Ke Dua Belas (RMK-12).

“Malaysia sebagai sebuah negara maritim amat memerlukan keupayaan intelligence, surveillance dan reconnaissance (ISR) untuk mengawasi laluan strategiknya yang luas di Selat Melaka, Laut China Selatan dan Laut Sulu.

“Selaras dengan pendirian Malaysia yang tidak memihak kepada sesiapa dan membina jaringan persahabatan dengan semua, Malaysia mengalu-alukan kerjasama pertahanan dengan semua pihak yang berkepentingan termasuk AS dan China.

“Kerjasama pertahanan itu penting bagi menjaga keselamatan negara dan kestabilan di rantau Asia Tenggara,” tegas kenyataan kementerian itu lagi.-  MalaysiaGazette