Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Johor menyifatkan laporan Malaysiakini bertajuk ‘Undangan khas Aidilfitri Sultan Ibrahim hanya buat UMNO Johor’ adalah fitnah jahat portal tersebut terhadap institusi diraja Johor.

Ketuanya, Mohd. Hairi Mad Shah menegaskan, kunjungan bersempena sambutan Aidilfitri itu bukan atas dasar jemputan tetapi permohonan yang dibuat untuk menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Beliau menjelaskan, mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ataupun parti politik boleh membuat permohonan untuk mengadap Sultan Ibrahim melalui saluran rasmi.

“Saya dimaklumkan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ir. Hasni Mohamed ianya adalah suatu permohonan menghadap sempena Aidilfitri bukannya suatu jemputan dari Sultan Johor. Berdasarkan permohonan tersebut, Tuanku berkenan untuk menerima menghadap Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor.

“Laporan Malaysiakini yang berbentuk fitnah ini perlu dijauhkan agar tidak menyinggung perasaan terutamanya Sultan Johor. Kenyataan ini perlu diturunkan seterusnya permohonan maaf perlu dikeluarkan oleh penulis berita ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Malaysiakini mengeluarkan laporan bertajuk ‘Undangan khas Aidilfitri Sultan Ibrahim hanya buat UMNO Johor’ berikutan Sultan Johor telah menerima menghadap Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor pada hari ini sempena sambutan Aidilfitri.

Mohd. Hairi menambah, perkara ini dicemarkan oleh fitnah jahat yang dikeluarkan Malaysiakini bersumberkan perisik yang tidak sahih menceritakan keadaan sebenarnya.

Katanya, pada hantaran dalam Facebook rasmi Sultan Johor, baginda bertitah bahawa kunjungan pelbagai pihak sempena sambutan Aidilfitri dapat mengeratkan hubungan silaturahim.

“Sesungguhnya baginda amat menitikberatkan perpaduan dalam kalangan rakyat tanpa mengira agama atau kaum.

“Semoga Aidilfitri ini kita sama-sama menjadi bangsa Johor yang berfikir dan bertamadun serta dijauhkan dari propaganda jahat mana-mana pihak,” katanya. – MalaysiaGazette