KUALA LUMPUR – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) hari ini mempersoalkan kewajaran cadangan pembukaan lapangan terbang baharu di beberapa negeri di utara ketika suasana ekonomi negara yang tidak menentu.
Presidennya, Aminuddin Yahaya mendakwa, pembangunan yang mencecah sehingga RM10 bilion itu dikhuatiri menyebabkan pertindihan lapangan terbang sedia ada yang merugikan kewangan negara.
“Tak pasti kenapa banyak sangat cadangan lapangan terbang antarabangsa nak dibuat di sebelah utara.
“Sekarang sudah ada di Pulau Pinang. Di Kulim sudah dicadang dan kini ada dua cadangan baharu di sempadan Pulau Pinang dan Perak.
“Adakah ia perlu sekarang dalam keadaan ekonomi tidak menentu kerana kos pembinaan dianggar sekitar RM10b?
“Apakah Kulim Airport nanti jadi ‘redundant’? Kalau betul, tidakkah itu merugikan?,” katanya dalam entri terbaru di Facebook miliknya, hari ini.
Aminuddin turut melahirkan kebimbangan terhadap cadangan tersebut akan mengganggu ekosistem khususnya di kawasan sawah padi di negeri di sebelah utara.
“Jika dibuat penambakan yang melibatkan 5,000 hektar kawasan, adakah tidak menganggu ekosistem di kawasan berkenaan?
“Cadangan baru ini akan antaranya akan melibatkan pengambilan tanah sawah dan sudah pasti ianya merupakan tanah orang Melayu,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan sewajarnya melakukan pembangunan tidak tertumpu kepada negeri-negeri yang sedia membangun, sebaliknya memberi tumpuan kepada Pantai Timur.
“Elok kerajaan mula melihat pembangunan seimbang dgn memberi penumpuan di sebelah pantai timur seperti Kelantan, Pahang dan Terengganu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Kelantan, Terengganu, Pahang tu semua bawah pembangkang bang. Bukan senang depa nak amik tanah Melayu camtu jer kat negeri2 tu. Lagi satu, entah depa ni bersungguh2 ke tidak utk membangunkan negeri2 di bawah pembangkang ni.