KUALA LUMPUR – Tempoh 13 tahun bukanlah waktu yang singkat bagi wanita ini mengorbankan tenaga dan masa demi kariernya di sebuah bank antarabangsa.
Apatah lagi memegang portfolio sebagai ketua pengurusan kewangan membuatkan Hasni Andy Cinta menghabiskan hampir 90 peratus masanya di pejabat hingga ke malam.
Malah, gara-gara penat bekerja, Hasni kelahiran Pulau Pinang itu pernah dikejarkan ke hospital akibat mendapat tekanan darah tinggi yang teruk.
Akhirnya empat tahun lalu, dia nekad membuat pilihan meletak jawatan dan menjadi pengasas B4U Exc (M) Sdn. Bhd. (B4U) iaitu syarikat bumiputera yang terlibat dalam perniagaan berasaskan aset digital telah memperkenalkan mesin juruwang automatik (ATM) bitcoin sejak tahun lalu.
Bermula dari situ, Hasni kini berasa puas dapat dia menumpukan perhatian kepada kebajikan sehingga merentasi sempadan global yang ditubuhkan di bawah syarikat itu yang diasaskan suaminya, Abdul Rehman.
Wanita ini lebih selesa membuat kerja amal menerusi Pertubuhan Komuniti B4U (Komuniti B4u) yang diasaskannya hampir dua tahun lalu untuk membantu golongan kurang bernasib baik hingga keluar negara tanpa mengira bangsa dan agama.
Tahun lalu, antara kejayaan besar pertubuhan itu apabila dapat membina 10 loji air dan menyediakan kemudahan solar di beberapa sekolah dan kampung di Pakistan.
“Kami akan terus komited untuk menganjurkan misi membantu masyarakat dengan menjalankan beberapa projek komuniti dalam masa terdekat ini.
“Ia melibatkan pelbagai bidang seperti jualan garaj, larian, aktiviti zumba, mencari tanah wakaf untuk anak-anak yatim dan pusat perlindungan bayi.
“Apa saya buat dan rancangan ini sebenarnya untuk memberi balik kepada masyarakat rezeki saya dan syarikat peroleh selama ini,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.
Sementara itu, Abdul Rehman berkata, objektif Komuniti B4U mahu meningkatkan kesejahteraan insan yang memerlukan kemakmuran dalam semua aspek kehidupan.
Pada masa sama, pihaknya turut merancang memberi pendidikan kepada masyarakat agar memberi sumbangan dan bantuan kepada pihak yang bertauliah.
“Pendidikan derma atau sumbangan itu penting kerana ada umat Islam yang tidak mahu membayar zakat dan ingin melaksanakan sendiri.
“Pada pendapat saya, jangan menderma sesuka hati kerana bimbang disalurkan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Derma dengan pihak bertauliah seperti Komuniti B4U yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan para penderma boleh mendapatkan pengecualian cukai kelak,” katanya yang mengalu-alukan kehadiran sukarelawan selain sedia menganjurkan aktiviti amal untuk syarikat yang berminat.
Mengulas mengenai syarikatnya, Abdul Rehman memberitahu, B4U akan menambah ATM bitcoin sebanyak 40 unit lagi di seluruh negara.
Jelas beliau, antara dua hingga tiga ATM itu dirancang dibuka di setiap negeri membabit lokasi strategik seperti pusat membeli-belah selain mengeksport mesin itu keluar negara.
Pada masa sama katanya, B4U akan muncul sebagai syarikat pengendali e-hailing baharu di negara ini yang dikenali Bravo apabila perkhidmatan itu bakal dilancarkan pada bulan.
Menurutnya, Bravo telah dilancarkan di Pakistan bulan lalu dan sambutan yang diberikan amat luar biasa. – MalaysiaGazette