KUALA LUMPUR – Penyanyi, To’ki atau nama sebenarnya Mohd Zaki Mansur, 52, cedera ditikam dan diserang sekumpulan lelaki dipercayai dalam cubaan samun di Taman Daya, Kepong, di sini pada malam kelmarin.
Menurut To’ki , ketika kejadian dia yang bersendirian baru sahaja selesai membeli perkakasan melukis di pusat beli-belah Selayang Mall.
“Kira-kira jam 8 malam semasa dalam perjalanan pulang dengan menunggang motosikal di satu selekoh, datang tiga lelaki menunggang dua motosikal menahan saya.
“Mereka cuba menghimpit saya ke tepi jalan sebelum menahan saya. Kemudian salah seorang lelaki terbabit mengugut supaya saya menyerahkan wang dan barang berharga,” katanya memerik laporan Sinar Harian.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Biasan itu berkata, salah seorang lelaki terbabit secara tiba-tiba bertindak agresif dengan menikam tangan kirinya.
“Saya terus rebah sebelum dibantu orang awam yang segera membawa saya ke HKL. Alhamdulillah, hari ini saya sedikit sihat selepas selesai menjalani pembedahan pada jam 10 pagi tadi,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez yang meluangkan masa melawat penyanyi itu berkata, beliau mengambil berat kes berkenaan.
“Nasib dia (To’ki) tidak baik. Apa pun syukur dia selamat dibedah dan semoga dia cepat sembuh serta kembali aktif dalam bidang seni kerana buat masa ini To’ki masih terlibat dalam persembahan mingguan di beberapa tempat.
“Saya harap kerjaya seninya disambung. Sekiranya kita boleh bantu, kita akan laksanakan. Kita akan pantau dari segi pemulihan kesihatannya dan kerjayanya,” katanya. – MalaysiaGazette