Shuib Sepahtu bersama isterinya, Siti Sarah. foto AFFAN FAUZI, 11 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Pelawak Shuib Sepahtu tidak pernah melupakan asal usul dirinya yang membesar dengan penuh kesusahan biarpun telah bergelar selebriti.

Menerusi Instagram miliknya, dia bergambar berlatar belakang rumah tempatnya membesar.

Turut kelihatan isteri, penyanyi Siti Sarah Raisuddin dan tiga anaknya, Uwais Alqarni, 7, Dzahira Talita Zahra, 6, dan Ariq Matin, 3.

“Dari umur lapan bulan sampai umur 17 tahun, inilah rumah tempat saya dibesarkan, tiap-tiap petang ambil air pakai baldi, mandi di parit, tandas di luar rumah, tidur pakai kelambu, lampu pakai pelita.

“Tak ada motor, yang ada cuma basikal,” tulisnya.

Shuib menambah, dia hanya mendapat wang saku 50 sen untuk ke sekolah dan sering menangkap belut pada hujung minggu untuk dijual bagi menampung perbelanjaan.

Menurut Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, pengalaman membesar di rumah papan itulah yang mengajarnya erti kehidupan.

“Belajar erti susah sebenar, belajar menghargai setiap apa yang ada. Belajar bersyukur dengan nikmat Allah,” kata bekas penyampai radio Sinar FM itu.

Dia turut menyatakan harapan agar isteri dan anak-anaknya sentiasa mensyukuri rezeki kurniaan Tuhan pada masa sama sentiasa bersedia menghadapi ujian.

“…Sentiasa bersyukur dengan apa saja ketentuan Allah. Bersedia dengan setiap ujian Allah, susah juga ujian, senang juga ujian,” katanya sambil mengakhiri hantaran itu dengan tanda pagar. – MalaysiaGazette