Saksi yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Tan Sri Ismee Ismail (kanan) ketika hadir perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 13 JUN 2019.

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd, Tan Sri Ismee Ismail, 54 mengaku tidak memaklumkan kepada Datuk Seri Najib Razak tentang kewujudkan akaun yang tidak diaudit dan meragukan.

Jelasnya, ini kerana beliau membuat keputusan untuk menyiasat terlebih dahulu mengapa kedua-dua akaun itu tidak diaudit.

Najib merupakan Penasihat Emeritus SRC.

“Saya tak setuju. Saya perlu siasat non-filing, saya hubungi juruaudit untuk tahu berkenaan sebab penangguhan. Mereka kata beberapa pengesahan audit tidak diterima daripada pengurusan (SRC).

“Saya ambil tanggungjawab dan tanya berkenaan tunggakan pengesahan audit, mereka (juruaudit) memberikan saya (maklumat) yang antaranya lain berkenaan bank tempatan,” katanya kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada soalan peguam Harvinderjit Singh, adakah saksi ke-39 itu bersetuju beliau sepatutnya melaporkannya kepada Najib.

Ismee sebaliknya berkata, dia mahu memastikan akaun-akaun berkaitan ditutup kerana merasa bertanggungjawab terhadap perkara itu.

Dia juga berkata, tidak melanjutkan perkara itu kepada Najib kerana masalah telah pun diselesaikan menerusi penutupan akaun.

“Ia ada di meja saya selama dua minggu. Saya tanganinya satu persatu, saya ambil tanggungjawab untuk tutup akaun.

“Mereka kata Nik Faisal tidak memberitahu (tentang perkara itu) kerana sibuk dengan perkara lain,” katanya. – MalaysiaGazette