Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof bercakap pada Majlis Zakat Korporat 2019 di Hotel Tenera, Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 13 JUN 2019
Mujahid Yusof

BANGI – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mempunyai prosedur bagi memanggil kedua-dua pelaku dalam video intim yang mirip seorang menteri Kabinet Pakatan Harapan (PH).

Ditanya samada JAWI akan memanggil kedua-dua individu dalam video intim berkenaan, Mujahid berkata, siasatan akan hanya dilakukan berdasarkan tempat kejadian dan negeri kejadian itu berlaku.

“Dia (siasatan) akan ada prosedur dan itu pun kena disahkan dulu benda (seks) itu berlaku di mana itu masih di peringkat awal,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis serahan Zakat Korporat, hari ini.

Justeru itu, beliau yang dipertanggungjawabkan menjaga hal ehwal agama berkata, pihaknya mengambil sikap untuk menyerahkan kepada pihak berkuasa bagi melakukan siasatan.

Ini kerana dalam undang-undang Islam, sekiranya sebarang aktiviti tidak bermoral berlaku di sesebuah negeri, maka bidang kuasa tersebut terlepas kepada negeri berkenaan, tambah beliau.

“Pihak JAWI akan meneliti aduan tersebut mengikut bidang kuasa dan seksyen kesalahan berkaitan berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Mujahid merujuk kepada tindakan Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Muhamad Hilman Idham membuat aduan qazaf bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat terhadap penyebaran video itu.

Laporan itu dibuat di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di Putrajaya.

Dalam pada itu, Mujahid menyifatkan sebaran video seorang lelaki bersama lelaki yang didakwa sebagai menteri kabinet sebagai jijik dan memualkan.

“Apa yang lebih membimbangkan ialah masyarakat kita kini langsung tidak mempunyai rasa malu apabila secara terbuka dan terang-terangan membuat pengakuan melakukan maksiat.

“Tindakan seperti ini bukan sahaja memalukan tetapi menjejaskan kesucian Islam. Islam juga mengunjurkan umatnya agar tidak membuka aib,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast