Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan satu debat bertajuk Who Is The Real Terrorist diadakan di antara Dr Zakir Naik dan Dr P. Ramasamy.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menasihatkan orang ramai agar tidak menentukan syurga dan neraka sesiapapun.

Menurutnya, kedudukan pelaku dosa dan pahala di sisi Allah, hanya Dia sahaja yang tahu.

“Justeru, janganlah kita cuba menentu syurga dan neraka sesiapapun. Tugasan kita hanya memberitahu bahawa itu dosa, ini pahala. Pahala boleh membawa ke syurga, sementara dosa boleh membawa ke neraka. Beritahu apa yang ALLAH suruh dan apa DIA larang.

“Adapun kedudukan pelaku dosa dan pahala di sisi ALLAH, hanya DIA yang maha tahu. Dia Yang Maha Mengetahui hakikat keseluruhan hidup seseorang zahir dan batin. DIA yang mengetahui timbangan antara dosa dan pahala seseorang,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Tegas Mohd Asri, kita hendaklah tahu bahawa ada dosa peribadi hanya antara hamba dengan TuhanNya tanpa membabitkan hamba-hamba Alalh yang lain.

“Dosa jenis ini mudah diampunkan oleh ALLAH. Di sana pula ada dosa yang membabitkan kezaliman antara kita dengan hamba-hamba ALLAH yang lain. Dosa ini tidak diampuni sehingga kita memohon kemaafan atau membayar pahala kita di akhirat kelak. Jika tidak, kita mesti menanggung dosa orang yang kita zalimi. Inilah yang Nabi s. a.w tegaskan dalam hadis riwayat Muslim.

“Maka, boleh jadi ada orang yang di mata kita lekeh disebabkan dosa peribadi seperti tidak menutup aurat, namun dia kurang melakukan dosa dengan hamba-hamba Allah yang lain. Boleh jadi orang yang kita pandang tinggi dengan penampilannya, tapi betapa banyak dosanya dengan hamba-hamba Allah yang lain,” tambahnya.

Oleh itu, katanya, janganlah kita menafikan kebaikan orang lain disebabkan sesuatu kekurangan yang kita lihat tetapi ini tidaklah bererti menjustifikasi dosa yang orang lakukan, tapi kita dituntut untuk adil dalam menilai orang lain.

“Dosa dinilai dosa, baik dinilai baik. Ada dosa tidak semestinya tiada kebaikan. Ada pahala tidak semestinya tiada dosa.

“Akhirnya, hendaklah kita sedar, kita semua sebenarnya pendosa. Cumanya, antara yang diketahui orang dan tidak ketahui oleh orang lain. Seperti mana kita mahu orang adil kepada kita, maka adillah kita terhadap setiap orang. Apa yang salah ia tetap salah tetapi tidak bererti menafikan kebaikan yang lain jika ada. Apa yang baik tetap baik, tetapi tidaklah menjustifikasi dosa yang lain,” ujarnya.

Mufti Perlis itu menjawab persoalan yang dihantar kepadanya tentang kebaikan Dr Nur Amalina Che Bakri yang telah membantu menyelamatkan Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, bayi 10 bulan yang menghidapi Germ Sell Tumour.

Persoalan yang ditanya mereka adalah “patutkah kita memuji doktor tersebut sedangkan beliau tidak bertudung kepada dan agak seksi?

Mohd Asri berkata, walaupun persoalan itu tidak wajar tetapi ia berlegar dalam fikiran orang-orang yang punitif.

“Walaupun kita rasa persoalan seperti itu tidak wajar, namun itulah persoalan yang bermain dalam fikiran sebahagian mereka yang terkena versi kefahaman Islam yang bersifat punitif. Kadang-kala bukanlah salah mereka, sebab mereka telah dididik dalam versi kefahaman agama seperti itu.

“Kefahaman agama mereka bersifat begitu menghukum sesuatu kekurangan yang mereka lihat pada seseorang dan gagal melihat kebaikan-kebaikan lain yang ada pada individu yang sama. Versi kefahaman atau cara fikir seperti itu menjadikan mereka memilih satu amalan yang menjadi satu ukuran utama mereka seperti bertudung, atau menyokong perjuangan mereka atau seumpamanya. Itu dijadikan penentu tunggal bagi kebaikan dan keburukan seseorang. Segala amalan baik akan dinafikan jika tidak mempunyai ciri yang mereka pilih itu,” jelasnya.

Sedangkan, kata Mohd Asri, mereka itu lupa bahawa di akhirat kelak, Allah menimbang dengan adil setiap kebaikan dan kejahatan seperti yang Allah nyatakan dalam Surah al-Zalzalah.

“Mereka juga lupa al-Quran dalam Surah al-Qari’ah menyatakan bahawa sesiapa yang pahalanya mengatasi dosanya maka dia akan ke syurga. Sesiapa yang sebaliknya, maka dia ke neraka. Ertinya, penilaian ke syurga bukan dibuat atas siapa yang tidak mempunyai dosa, tetapi siapa yang pahalanya mengatasi dosanya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast