Gambar hiasan

SHAH ALAM – Semua premis makanan dan minuman termasuk restoran di Selangor dilarang menyediakan penyedut minuman plastik di kaunter untuk diambil secara bebas oleh pelanggan mulai 1 Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata, dasar pelaksanaan mengurangkan penggunaan penyedut minuman plastik itu diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu lepas.

Bagaimanapun katanya, penyedut minuman plastik hanya akan diberikan atas permintaan pelanggan untuk setiap minuman yang dipesan.

Beliau berkata, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan memasukkan larangan tersebut dalam Syarat-syarat Permohonan Lesen Perniagaan semasa pengusaha makanan, minuman dan restoran mengemukakan permohonan baharu atau memperbaharui lesen perniagaan masing-masing.

“Objektif utama pelaksanaan dasar ini adalah untuk mendidik dan meningkatkan tahap kesedaran penduduk di Selangor tentang kesan jangka panjang penggunaan plastik sekali guna khususnya penyedut minuman plastik terhadap kesihatan dan alam sekitar.

“Pelaksanaan dasar ini dijangka akan dapat membantu kerajaan mengawal masalah pencemaran alam sekitar yang semakin ketara dan menggalakkan usaha mengitar atau mengguna semula serta menjaga kebersihan alam sekitar di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Jelas beliau, pelaksanaan dasar tersebut selaras dengan kempen bebas plastik yang sedang dijalankan di Selangor malah bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna (single-use plastics) seperti beg plastik, polisterina, penutup atau pelapis makanan plastik, bahan-bahan plastik pakai-buang dan sebagainya.

Tambah Hee, kerajaan negeri melalui PBT akan memantau pelaksanaan dasar berkenaan dan semua pengusaha premis makanan, minuman serta restoran digesa memberi kerjasama dan bantuan supaya objektif pengurangan penggunaan plastik di negeri ini tercapai.

Katanya, kerajaan negeri juga amat berbangga dan berterima kasih kerana banyak pengusaha premis makanan, minuman dan restoran telah melaksanakan inisiatif seumpama itu dalam mengurangkan penggunaan plastik termasuk tidak lagi memberi penyedut minuman plastik secara automatik kepada pelanggan mereka.

“Malah, terdapat juga premis makanan, minuman dan restoran menggunakan penyedut minuman kertas atau buluh sebagai ganti selain mengedar penyedut keluli tahan karat (stainless steel) secara percuma kepada orang awam dan sebagainya.

“Justeru itu, orang ramai juga digalakkan untuk membawa bekas makanan atau minuman serta penyedut minuman yang boleh diguna semula,” katanya.

Hee berkata kerajaan negeri akan sentiasa meningkatkan usaha ke arah memastikan Selangor menjadi sebuah negeri yang lebih bersih, indah, hijau serta mesra alam.

Beliau juga menggalakkan orang ramai memberi cadangan serta pendapat mengenai pelaksanaan kempen dan dasar berkaitan penggunaan plastik kepada mana-mana jabatan serta agensi kerajaan selain menghubungi terus ke pejabat exco terus untuk tujuan tersebut.

“Setiap cadangan atau pedapat akan diberi perhatian dan dikaji agar kempen atau dasar kerajaan ini akan mencapai kejayaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast