Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi

PUTRAJAYA – Kerajaan akan berbincang dan memperhalusi
syarat-syarat pinjaman yang dikenakan kepada peminjam Tabung Infra Pelancongan dan Tabung Pelancongan.

Kedua-dua tabung tersebut masing-masing diletakkan di bawah SME Bank dan Bank Pembangunan.

Menteri Pelancongan Seni Dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan dalam waktu terdekat berikutan rungutan dan aduan daripada pemohon tabung berkenaan.

“Saya difahamkan bilangan peminjam-peminjam yang diluluskan terlalu sedikit dan pemohon yang memohon ramai.

“Ramai di antara mereka ini dikatakan tidak dapat memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan pemberi pinjaman berikutan syarat-syarat yang dikenakan terlalu ketat hingga menyukarkan peminjam mendapatkan pinjaman khususnya bumiputera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tabung-tabung itu diwujudkan bagi membantu dan memberi pengalaman sebagai usahawan kepada bakal usahawan.

Tabung Infra Pelancongan yang diletakkan di bawah SME Bank, memperuntukkan dana sebanyak RM500 juta yang bertujuan membangunkan industri pelancongan kalangan usahawan industri kecil dan sederhana agar ia dapat menyumbang kepada
pendapatan negara.

Tabung Pelancongan yang diletakkan di bawah Bank Pembangunan pula memperuntukkan lebih dari RM500 juta bagi
tujuan membantu usahawan yang ingin membangunkan atau
mengembangkan produk-produk pelancongan seperti hotel, chalet , resort dan lain-lain kemudahan penginapan.

Menurut Mohamaddin, beliau akan berjumpa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk melonggarkan syarat pinjaman tabung tersebut.

“Pada pertemuan itu nanti saya ingin menyuarakan pendapat agar kaedah-kaedah berkesan dapat dicari dan digali bagi tujuan tersebut

“Jika syarat-syarat ini tidak dilonggarkan saya bimbang usahawan-usahawan khususnya bumiputera tidak dapat menikmati inisiatif murni kerajaan itu dan seterusnya menggagalkan usaha golongan usahawan terbabit untuk mengembangkan perniagaan atau berjaya dalam perniagaan
mereka,’ ujarnya.

Tambah Mohamaddin, usaha itu dilakukan kerana beliau tidak mahu kempen pinjaman itu dilihat hanya sekadar retorik dan
seakan-akan memberi harapan palsu. – MalaysiaGazette