TRENTON – United Airlines menangguhkan penerbangan dari Lapangan Terbang Newark ke ibu kota India di Mumbai selepas kajian keselamatan dijalankan susulan tindakan Iran menembak jatuh dron milik tentera Amerika Syarikat (AS).

Tembakan ke atas Global Hawk tidak bersenjata, yang boleh terbang sehingga 60,000 kaki (18,300 m), adalah siri baharu di rantau Teluk selepas serangan ke atas enam kapal tangki.

“Memandangkan kejadian-kejadian semasa di Iran, kami telah melakukan kajian keselamatan menyeluruh terhadap perkhidmatan India yang melalui ruang udara Iran lalu memutuskan untuk menggantung perkhidmatan kami,” kata United di laman webnya.

Namun United Airlines tidak mengatakan berapa lama penggantungan itu akan berlaku.

Data pengesanan penerbangan menunjukkan pesawat komersil terbang sangat dekat dengan Global Hawk semasa ia ditembak jatuh, kata OPSGROUP, yang menyediakan panduan keselamatan kepada operator udara.

“Ancaman penembakan pesawat awam di selatan Iran adalah benar. Mengelak Selat Hormuz adalah disyorkan,” kata syarikat itu.

Bulan lalu, pengawal selia Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA) menasihati syarikat penerbangan supaya berhati-hati semasa terbang di ruang udara Iran dan kawasan berdekatan, berikutan aktiviti ketenteraan dan ketegangan politik yang meningkat.

“Walaupun Iran mungkin tidak berniat untuk mensasarkan pesawat awam, kehadiran pelbagai senjata jarak jauh dan senjata terkini anti-pesawat dalam persekitaran yang tegang menimbulkan risiko salah perhitungan, terutama semasa tempoh ketegangan dan retorik politik yang semakin meningkat,” katanya. – MalaysiaGazette