Tommy Thomas. foto AFFAN FAUZI, 17 JUN 2019
Tommy Thomas. foto AFFAN FAUZI, 17 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Peguam Negara  Tommy Thomas memohon Mahkamah Tinggi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan Datuk Seri Najib Razak atas dakwaan pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa yang dijadualkan berlangsung pada 19 Ogos hingga Oktober ini ditangguhkan.

Beliau berkata, ini kerana perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd yang juga membabitkan Najib masih berlangsung dan dalam masa sama pasukan pendakwaraya tidak akan dapat menamatkan kes tersebut pada 15 Ogos ini.

“Apa yang saya boleh beritahu mahkamah adalah lebih 40 orang saksi telah memberi keterangan kepada mahkamah dan akan memanggil 25 orang lagi.

“Perbicaraan berlangsung dengan sangat lambat daripada apa yang dijangka,” katanya selepas pengurusan kes sebentar tadi.

Justeru beliau berkata, tarikh yang sesuai untuk perbicaraan 1MDB dimulakan adalah pada 1 Oktober 2019.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah yang mempertimbangkan permohonan Tommy menetapkan 15 Julai sebagai sebutan semula kes SRC International.

“Kamu boleh datang balik beri perkembangan pada tarikh itu jadi masa itu barulah kamu boleh cerita perkembangan dengan lebih jelas,” ujarnya.

Perbicaraan SRC International melibatkan Najib memasuki hari ke-29 semalam dan akan disambung pada 1 Julai depan.

Seramai 42 saksi telah dipanggil termasuk bekas Pengarah SRC International, Datuk Suboh Md Yassin.

Selain itu Najib juga berhadapan dengan 25 pertuduhan pemindahan ratusan juta dolar ke akaun bank miliknya daripada 1MDB. – MalaysiaGazette