Mahathir Mohamad
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini bertekad tidak akan membiarkan negara dalam keadaan berantakan apabila beliau melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri bila tiba masanya nanti.

Pemimpin berumur 93 tahun itu berkata memang menjadi hasratnya untuk terus bekerja keras buat negara dan menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi.

“Yang pastinya saya tidak akan berlalu meninggalkan (kepimpinan) negara ini dalam keadaan berantakan, seperti yang dilakukan oleh kepimpinan sebelum ini.

“Jadi saya sedang bekerja keras untuk negara, sedaya upaya, dan diharapkan kita akan dapat membetulkan keadaan dan menyelesaikan semua masalah yang kita warisi (dari kerajaan sebelum ini),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sesi program ‘The Future of Malaysia and ASEAN’ di Sidang Kemuncak Perniagaan Asean Bloomberg ke-5 di Bangkok hari ini, yang dihoskan oleh ketua koresponden antarabangsa bagi Asia Tenggara Bloomberg Television, Haslinda Amin.

Menjawab satu soalan, Dr Mahathir berkata beliau akan berpegang teguh kepada janjinya untuk menyerahkan tampuk kepimpinan negara kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim. – BERNAMA