Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (tiga kiri) beramah mesra dengan penderma darah pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 di Pusat Darah Negara, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 22 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Tiga lagi orang suku komuniti Bateq Orang Asli dikesan mengalami gejala masalah saluran pernafasan di Kampung Kuala Koh, Gua Musang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, dua daripadanya dikesan pada 20 Jun lalu manakala satu lagi kes dilaporkan semalam 21 Jun lalu oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.

“Dua pesakit Orang Asli yang dikesan sesak bernafas sedang dirawat di Wad Isolasi Hospital Kuala Kerai dan satu lagi dirujuk ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.

“Ketiga-tiga pesakit itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan terus dipantau pegawai perubatan kami,” katanya dalam sidang media Majlis Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2019 di Pusat Farah Negara pagi tadi.

Angka kumulatif kes itu sejak 3 Jun hingga semalam menyaksikan keseluruhan 116 kes.

Menurutnya daripada jumlah itu, sebanyak 47 kes telah disahkan campak melalui ujian makmal dan 48 kes masih dirawat di hospital kerajaan iaitu 46 kes di wad biasa dan 2 lagi di Unit Rawatan Rapi.

Sebanyak 12 kes dengan gejala ringan ditempatkan di Rumah Inap Kesihatan Orang Asli (RIKA) di Gua Musang manakala 14 kes lagi ditempatkan di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Gua Musang.

“Sehingga semalam, tiada kes kematian baharu dan kes kematian yang dilaporkan kepada kementerian masih kekal 3 kematian yang telahpun disahkan campak melalui ujian makmal.

“Manakala bedah siasat terhadap 12 mayat yang ditemui polis telahpun dijalankan serta sampel dihantar ke makmal dan sedang dijalankan ujian bagi mengetahui punca sebenar kematian mereka.

“Pemeriksaan juga sedang dilaksanakan ke atas kesemua 12 mayat Orang Asli itu untuk menentukan jantina, umur, bangsa, ketinggian dan jangka masa kematian mereka,” ujarnya lagi.

Dzulkefly menjelaskan pada 20 Jun lalu, satu kes baharu disyaki campak dilaporkan dari komuniti Orang Asli di Kampung Gerdong, Hulu Terengganu, menjadikan jumlah kes sebanyak 13 orang.

Lapan daripadanya disahkan campak menerusi ujian makmal dan tidak ada kes baharu dikesan di Kampung Ulu Sat, Jerantut, Pahang menjadikan bilangan kes sehingga 20 Jun lalu adalah lapan kes dengan empat disahkan campak menerusi ujian makmal.

“Namun setakat ini tiada penularan jangkitan campak melibatkan perkampungan lain dilaporkan dan pemantauan terus dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Kelantan,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette