foto: Bernama

JOHOR BAHRU – Sebuah lagi sekolah di Pasir Gudang di sini, dilaporkan turut mengalami insiden sesak nafas membabitkan pelajarnya, hari ini.

Sekolah terbaharu itu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Nusa Damai hanya terletak kira-kira lima kilometer dari Sekolah Agama Taman Mawar, yang pertama sekali terjejas akibat insiden itu Khamis lepas.

Tinjauan Bernama di tempat kejadian mendapati sekurang-kurangnya enam ambulans dari Hospital Sultan Ismail berada di perkarangan sekolah itu, dipercayai untuk membawa keluar pelajar yang terjejas.

Sehingga kini, tiada pengesahan berapa jumlah pelajar yang terlibat namun difahamkan insiden berlaku ketika pembelajaran sesi pagi berlangsung.

Mangsa-mangsa pula kini, sebahagiannya sudah dibawa ke Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang yang dijadikan sebagai Bilik Operasi Gerakan Pemantauan kes terbabit, untuk diberi rawatan awal.

Sementara itu, usaha wartawan Bernama untuk menemu bual kakitangan dan guru terlibat tidak berjaya kerana media dilarang untuk memasuki perkarangan sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar yang dihubungi berkata, beliau akan memaklumkan perkembangan kes ini kelak selepas pertemuan bersama pihak jawatankuasa kes tersebut. – Bernama