PDRM custodial deaths death lockup police
PDRM

PARIT – Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) maut selepas dipukul dengan kayu berpaku dalam satu pergaduhan dengan seorang lelaki, yang dipercayai berpunca daripada rasa cemburu, di Jalan Kenanga 8, Felcra Changkat Lada di Kampung Gajah dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, Badrul Hisham Ngah Aziz, 42, duda anak tiga yang cacat kaki kirinya, mengalami kecederaan parah di beberapa anggota akibat dipukul dan beliau disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Perak Tengah DSP Nik Rosdi Nik Yahya berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 2.40 petang dan semasa polis tiba, OKU itu dilihat masih sedang dipukul, sebelum pergaduhan dileraikan.

“Kejadian berlaku di hadapan rumah suspek yang berumur awal 40-an itu yang kini dalam proses penceraian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nik Rosdi berkata, suspek yang tidak sempat melarikan diri ditahan polis untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Bernama