KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) hari ini mengulangi pendiriannya mendesak kerajaan menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi kes kematian anggota Bomba dan Penyelamat, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Ini kerana, tegas Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali, inkues yang sedang berjalan sekarang sudah menjadi keraguan akan ketulenan dan ketelusannya.
Katanya, beliau berkata demikian kerana ada dua saksi utama inkues itu telah membuat laporan polis menyatakan mereka telah diugut pihak tertentu, manakala peguam yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pula telah menarik diri atas arahan Peguam Negara, Tommy Thomas.
“Walaupun peguam itu secara peribadi mahu mewakili keluarga Muhammad Adib, tetapi pada Putra, inkues yang sedang berjalan itu sudah tercemar dan menimbulkan tanda tanya rakyat Malaysia.
“Apapun keputusan yang dibuat mahkamah koroner nanti sudah tentu akan menjadi perdebatan masyarakat.
“Oleh itu, Putra mengulangi pendirian supaya kerajaan segera menubuhkan RCI untuk mengkaji isu kematian Allahyarham Muhammad Adib dan inilah ketegasan kita dan kita tidak akan bertolak ansur dalam soal kematian anggota Bomba dan Penyelamat ini,” katanya pada sidang media di Rumah Bakti Dato’ Harun di sini, hari ini.
Beliau yang mempengerusikan Mesyuarat Putra kali kedua tengah hari tadi, turut berkata, kalau kematian pegawai khas ADUN DAP, Teoh Beng Hock pun kerajaan menubuhkan RCI, kenapa tidak untuk Allahyarham Muhammad Adib.
Kata Dr. Ibrahim, apa muslihat kerajaan melengah-lengahkan untuk menangguh penubuhan RCI. – MalaysiaGazette