Peguam, Afiq Zainal Abidin (kiri) bersama Mazlifah Ayob (tengah) dan Suzana Atan (kanan) dilantik mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada prosiding inkues kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim yang bersambung semula 3 Julai depan di Kompleks Mahkamah Shah Alam, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 26 JUN 2019

SHAH ALAM – Mahkamah Koroner hari ini membenarkan empat peguam  mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam inkues kematian Allahyarham Muhammad Adib Kassim.

Empat-empat individu itu ialah Suzana Atan, Mazlifah Ayob, Afiq Zainal Abidin dan Fadzilatul Isma Ahmad Rafngah.

Suzana Atan dan Maslifah Ayob dan Fadzilatul merupakan  Peguam Kanan Persekutuan.

Kesemua mereka dicadangkan Jabatan Peguam Negara selepas peguam Syazlin Mansor menarik diri.

Koroner Rofiah Mohamad menetapkan prosiding seterusnya berlangsung pada 3,4,5 Julai ini bagi keterangan saksi pakar yang sebelum ini dirujuk Profesor Shahrom Abdul Wahid.

Manakala 16 dan 17 Julai ditetapkan bagi memanggil saksi pakar fizik yang akan memberi keterangan berkenaan punca kecederaan anggota bomba itu.

MGF260619_INKUES ADIB02
Peguam keluarga Adib, Syazlin Mansor hadir pada prosiding inkues kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim yang bersambung semula 3 Julai depan di Kompleks Mahkamah Shah Alam, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 26 JUN 2019

“Sehingga kini siapa pakar fizik boleh jadi daripada kerajaan atau swasta, pihak yang bebas,” kata Pegawai Pengendali inkues itu Fatin Hadni Khairudin kepada pemberita ketika diminta mengulas lanjut.

Prosiding inkues hari ke-36 sebelum ini dikejutkan apabila Syazlin yang mewakili KPKT, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan keluarga Adib  mengumumkan untuk menarik diri daripada prosiding.

Peguam Negara, Tommy Thomas menjelaskan Syazlin dinasihat bertindak demikian kerana wujud konflik kepentingan apabila mewakili keluarga Adib, selain kerajaan (jabatan bomba).

Tetapi Syazlin membuat keputusan untuk terus kekal mewakili keluarga Adib sahaja.- MalaysiaGazette