KUALA LUMPUR – Meskipun bekas suami Aliff Aziz secara terbuka menyuarakan keinginan untuk kembali semula, namun tidak bagi Bella Astillah.
Meskipun usia perceraian lebih kurang sebulan yang lalu, Bella enggan kembali kepada bekas suaminya hanya kerana simpati .
“Buat masa sekarang sukar untuk saya buat keputusan mahu kembali bersama kerana perceraian kami masih baru. Jika saya katakan tidak, takut nanti perkara itu akan terjadi.
“Saya tidak boleh terima dia kembali hanya disebabkan rasa kasihan. Ini soal hati dan perasaan.Saya serahkan segalanya pada Tuhan. Saya sendiri tidak tahu jika satu hari nanti Tuhan bukakan kembali hati saya untuk kembali bersama Aliff,” katanya.
Mengakui masih berhubung dengan Aliff tetapi mereka berdua tidak pernah membincangkan isu untuk kembali bersama.
Sebaliknya mereka hanya bercakap tentang perkembangan anak lelaki mereka, Ayden Adrean yang kini berusia dua tahun.
“Saya selalu berhubung dengan Aliff kerana dia bapa kepada anak kami. Namun tidak pernah berbincang soal kembali bersama. Jika dia bertanya sekalipun, saya tidak berikan jawapan,” tambahnya.
Aliff sering kali memberi bayangan ingin kembali bersama Bella Astillah selepas mereka bercerai pada 15 Mei lalu.
Mereka berdua mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016. -MalaysiaGazette