KUALA LUMPUR – Polis mengambil keterangan bekas suami A. Aida, Ariff Aziz berhubung kes curi RM200,000 melibatkan penerbit filem itu.

Susulan laporan polis yang dibuat pada 21 Jun lalu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner, Noor Azmi Yusoff berkata, pihaknya berjaya menjejaki Ariff pada Selasa lalu dan mengesahkan pelakon itu merupakan suspek utama kes berkenaan.

“Suspek adalah bekas suami A. Aida sendiri. Bagaimanapun, pihak kami masih menjalankan siasatan lanjut mengenainya.

“Kami rampas telefon bimbit suspek untuk mendapatkan maklumat seterusnya terutama berkaitan transaksi yang dibuat,” katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, pihak polis memberitahu mereka memerlukan sedikit masa lagi bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum pendakwaan dibuat.

Terdahulu, dalam laporan polis yang dibuat, A.Aida menamakan individu terdekat dengannya telah membuat dua transaksi pindahan pelaburan ke akaun tidak dikenali.

Dalam laporan menyebut hanya individu itu sahaja mempunyai segala butiran peribadi penerbit itu untuk tujuan tersebut.- MalaysiaGazette