KUALA LUMPUR – Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tidak pernah memberikan kebenaran untuk penggunaan pelekat khas ke atas kotak susu sebagaimana yang tular di media sosial.
Menterinya, Dr. Maszlee Malik telah mengarahkan siasatan dan arahan memberhentikan serta merta edaran dan pembelian susu berkenaan.
“KPM memandang serius isu ini kerana melibatkan integriti pelaksanaan inisiatif KPM. Perbuatan ini menimbulkan kesangsian rakyat terhadap kualiti susu yang dibekalkan kepada murid-murid di sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Maszlee menegaskan, komitmen KPM untuk memberikan yang terbaik kepada murid-murid sekolah terutama golongan sasar warga miskin yang tergolong dalam senarai penerima bantuan Rancangan Makanan Tambahan termasuk susu sekolah.
Dalam masa yang sama, katanya, sebarang bentuk salah laku integriti dalam isu yang sama akan disiasat kerana ia melibatkan penyalahgunaan kuasa melibatkan dana untuk murid-murid miskin.
“Ini adalah sesuatu yang serius dan tidak boleh diterima,” katanya.- MalaysiaGazette