KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran jawatan serta kenaikan pangkat enam pegawai kanannya berkuat kuasa, 29 Julai ini.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, pertukaran itu melibatkan Timbalan Ketua Polis Johor, DCP Datuk Mohd Kamarudin Md Din yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Johor dengan memangku pangkat CP.

Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, DCP Datuk Dev Kumar pula menggantikan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim yang ditukar ke jawatan Timbalan Pengarah Forensik/Databank/DNA/Perancangan Strategik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Timbalan Ketua Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan/Perancangan Strategik) Bukit Aman, DCP Datuk Muhammad Azlee Abdullah pula dilantik selaku Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Asmawati berkata, Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, DCP Datuk Fisol Salleh bertukar ke jawatan Timbalan Pengarah KDNKA (Pasukan Gerakan Khas) Bukit Aman.

Sementara, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Lim Bak Phai dilantik sebagai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Sarawak dengan memangku pangkat ACP. – Bernama