Phahrolrazi (berkaca mata) menyampaikan sumbangan anak pokok kelapa kepada ahli peladang yang hadir sempena Program Reformasi Peladang Rantau Panjang, Kelantan.

PASIR MAS — Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) kini sedang melaksanakan pemutihan jumlah keluasan padi di seluruh negara bagi mengelak ketirisan dan penyelewengan dalam agihan baja subsidi yang dibekalkan oleh pertubuhan itu.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata pemutihan itu akan dilakukan oleh agensi berkaitan termasuk Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

“Ketika ini MADA sedang melakukan proses pemutihan bagi mengenal pasti keluasan tanaman padi (di kawasan mereka) dan kami berharap agar KADA dan LPP dapat melakukan tindakan sama bagi membantu kerajaan menangani masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Reformasi Peladang Rantau Panjang di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati di sini semalam.

Media sebelum ini melaporkan ketiadaan data lengkap jumlah petani aktif dipercayai menyebabkan kerajaan kerugian jutaan ringgit setiap tahun akibat ketirisan dan penyelewengan dalam agihan subsidi baja.

Laporan itu turut menyebut walaupun kerajaan secara tetap menyalurkan subsidi dan insentif berjumlah RM1.9 bilion khususnya baja pada setiap tahun, namun pengeluaran per kapita padi negara menurun kepada 2,741 tan pada 2015, 2,740 tan pada 2016 dan 2,571 pada 2017.

Mengulas lanjut Phahrolrazi berkata NAFAS membekalkan baja subsidi berdasarkan permintaan yang diterima daripada agensi-agensi terlibat.

“Kami akui ada sesetengah penerima (pesawah) yang sudah tidak menanam padi dan mungkin tanah berkenaan sudah dibangunkan untuk perumahan dan sebagainya namun dalam rekod dia masih pesawah dan apabila terima baja mereka jual kepada kedai-kedai.

“Namun setakat ini kami belum mengambil tindakan keatas mereka yang menyalahgunakan (menjual) baja terbabit kerana NAFAS bukan pasukan penguatkuasaan.

“Ia antara faktor menyebabkan ada pihak tertentu menggunakan kesempatan akibat kelemahan pengumpulan data,” katanya.-MalaysiaGazette