KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kembali memulakan tugas di Ibu Pejabat UMNO, hari ini selepas menamatkan cuti beliau.
Beliau turut disambut oleh timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan serta mengadakan pertemuan di pejabatnya.
“Alhamdulillah segala puji bagi Allah. Kami bertemu pagi ini. Muafakat kunci kekuatan, kami positif atas satu matlamat satu perjuangan.
“Doakan kami diberikan kekuatan, ketabahan, kecekalan, serta dipermudahkan segala urusan kami dalam perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan negara,” katanya dipetik dari UMNO Online hari ini.
Semalam Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk telah mengumumkan untuk kembali aktif memimpin parti selepas bercuti selama enam bulan sebelum ini.
Pengumuman tersebut telah dibuat pada satu Majlis Hari Raya Aidilfitri di Sungai Sumum, Bagan Datok, Perak sempena setahun beliau dipilih sebagai presiden parti itu. – MalaysiaGazette