Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap semasa sidang media pada Sambutan Setahun Menteri KPDNHEP di Dewan Serbaguna Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 02 JULAI 2019

PUTRAJAYA – Tindakan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dipersoalkan kerana tindakan tersebut bercanggah dengan gesaan beliau kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pengisytiharan harta pada 2015.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, jika Tuan Ibrahim boleh menggesa pemimpin Barisan Nasional (BN) mengisytiharkan harta pada masa itu, kenapa beliau tidak membuat gesaan sama kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Tuan Ibrahim juga pada 2015 dulu membuat cabaran kepada Perdana Menteri Datuk Najib dan Datin Rosmah, isytiharkan harta. Kami lakukan yang (perkara) sama sekarang ini minta isytihar harta.

“Ketika Tuan Ibrahim suruh Datuk Najib isytihar harta pada 2015, Tuan Ibrahim juga kata bahawa Tuhan tak suruh isytihar harta, maknanya 2015 Tuhan tak suruh, kenapa kamu suruh,” katanya pada sidang media di kementeriannya, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Tuan Ibrahim semalam apabila Pas sebulat menolak usul mewajibkan semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang mengisytiharkan harta, kerana Islam melarang umatnya berbuat demikian.

Menurut ahli Parlimen Kubang Kerian itu, dalam Islam, jika Allah memberi harta kepada mana-mana individu, mereka tidak boleh menghebohkannya kepada orang ramai.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong membentangkan usul itu di Dewan Rakyat, dan ia sebulat suara disokong oleh ahli Parlimen kerajaan.

Saifuddin Nasution juga menolak dakwaan Tuan Ibrahim yang mengatakan tuhan tidak menyuruh umatnya mengisytiharkan harta sedangkan Islam amat mengambil berat amalan integriti itu bersandarkan kepada kisah khalifah Islam kedua.

“Saya ada khilaf sikit, perbezaan pendapat bab ini. Benarkah begitu kefahaman itu? Saya tolak, Islam sangat mementingkan integriti.

“Saya ambil contoh daripada kisah Khalifah Islam kedua, Umar al-Khattab, satu hari beliau pakai jubah, di depan khalayak dia ditanya satu soalan, mana dia dapat kain buat jubah? Pengisytiharan harta la tu.

“Yang bertanya itu kata, jubah yang kamu buat itu daripada kain harta rampasan perang yang diberikan kepada tentera Islam. Kain yang saya dapat tak cukup untuk buat sehelai jubah, sedangkan kamu (Umar) cukup, apakah kamu ambil lebih.

“Itu pengisytiharan harta, Umar suruh anaknya, Abdullah Umar jawab, jawabnya ialah bahagian aku, aku beri kepada ayah aku, sebab itu dia boleh buat jubah yang lengkap

“Jadi kaedah itu kerajaan ini terjemahkan dalam bentuk pengisytiharan harta,” katanya.

Katanya lagi, dalam soal ini, rakyat boleh menilai kesungguhan wakil rakyat mereka yang dipilih pada pilihan raya lalu sama ada mahu bersikap telus atau terus menyembunyikan sesuatu dalam soal pemilikan harta mereka selama ini.

“Niat sebenar kerajaan adalah mekanisme untuk tunjuk kerajaan bersungguh-sungguh nak lawan rasuah, nak tingkat integriti, kaedahnya adalah isytihar harta.

“Apa yang berlaku di Parlimen semalam, semua ahli Parlimen Kerajaan menyokong tapi kami tak dapat sokongan daripada ahli Parlimen Pembangkang termasuk Pas.

“Saya minta rakyat nilai keadaan ini, siapa yang bersungguh nak tunjuk kepada rakyat, siapa pula nak berhelah, jadi rakyat lebih bijak bab itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette