Datuk Seri Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Tiada tindakan pendakwaan ke atas bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung tuduhan pengubahan wang 10 juta melalui pengurup wang ke London untuk pembelian sebuah pangsapuri mewah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah selesai melakukan siasatan terhadap kes itu dan kertas siasatan sudah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada pada 2011.

Katanya, pada tahun 2013, jabatan tersebut memutuskan tiada tindakan pendakwaan dalam kes ini dan siasatan dihentikan.

“Bagaimanapun, pada April 2019 kertas siasatan sudah dikemukakan untuk penelitian semula dan pada 2 Mei 2019 AGC mengekalkan keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) setelah meneliti hasil siasatan,” katanya melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang mahu tahu hasil siasatan SPRM ke atas Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Rantau berkaitan kes itu yang dikatakan untuk pembelian sebuah pangsapuri mewah di London.

Baru-baru ini ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam membangkitkan isu tersebut sambil mempersoalkan pihak-pihak yang mengatakan Mohamad yang dikenali dengan panggilan Tok Mat seorang pemimpin yang bersih.

Beliau mendakwa Timbalan Presiden UMNO itu terlibat dalam pemindahan wang 10 juta untuk pembelian pangsapuri mewah di London dan menegaskan tidak teragak-agak untuk mendedahkan dokumen tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast