foto hiasan

KUALA LUMPUR –  Kes kehilangan lebih 800 kanak-kanak dan remaja sejak sembilan tahun lepas merupakan antara isu yang dijangka dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, perkara berkenaan akan dibangkitkan P. Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) menerusi soalan pertama pada sesi soal jawab lisan sejurus Dewan Rakyat bersidang pada 10 pagi.

Beliau meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan usaha jangka pendek dan panjang yang dilakukan kerajaan dalam menangani kes 831 kanak-kanak dan remaja yang hilang dalam tempoh sembilan tahun ini.

Selain itu, kes kematian Orang Asli Kuala Koh Gua Musang, Kelantan baru-baru ini juga bakal menjadi fokus pertanyaan Anggota Parlimen Orang Asli pertama di negara ini, Ramli Mohd Nor (BN-Cameron Highlands).

Beliau bertanyakan Menteri Dalam Negeri sama ada Polis Diraja Malaysia membuka apa-apa siasatan Laporan Mati Mengejut (SDR) memandangkan ia kejadian luar biasa dengan kematian yang ramai.

Sebanyak 178 soalan anggota Parlimen tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat berkenaan, namun dijangka hanya 13 soalan akan dijawab oleh menteri bertanggungjawab dalam sesi soal jawab lisan.

Sidang Dewan Rakyat hari juga dijangka membahaskan Rang Undang-Undang Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019, yang antaranya bertujuan menurunkan had umur maksimum dalam takrif belia kepada 30 tahun. – MalaysiaGazette