SHAH ALAM – Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) berkemungkinan menerima tekanan ketika menjalankan bedah siasat terhadap Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Demikian kata saksi pakar yang dirujuk keluarga Adib, Prof. Dr. Shahrom Abd. Wahid.
Ujar beliau, tekanan untuk mempercepatkan prosedur itu mungkin menyebabkan terdapat kekurangan dalam bedah siasat yang boleh dipertikaikan.
Antaranya yang dibincangkan secara spesifik semasa inkues sesi petang tadi adalah kepatahan tulang rusuk di belakang kiri anggota bomba itu.
Tambah beliau, untuk mengetahui secara spesifik punca dan keadaan tulang yang patah, ia perlu dipotong dan dikeluarkan oleh Ahmad Hafizam.
“Kalau dalam post moterm tak buat pemeriksaan betul-betul tidak akan boleh dapat tahu punca kecederaannya. Kalau buat kita akan nampak.
“Jadi, dalam kes ini sepatutnya potong tulang rusuk belakang dan periksa satu-satu. Mana-mana yang patah potong keluarkan.
“Memanglah tinggalkan kesan pada mayat tapi kita kena buat. Sebab nak cari semua punca untuk inkues. Tapi dalam hal ini mungkin ia dibuat dalam tekanan, jadi tidak nampaklah,”katanya kepada Mahkamah Koroner hari ini.
Jelasnya dengan cara itu bukan hanya punca kepatahan boleh dikenalpasti malah tempoh kecederaan juga akan dapat diketahui.
Apatah lagi menurut Shahrom, kepatahan tulang di belakang sebelah kiri tidak dikesan sewaktu Adib dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) dan kemudian hanya diketahui apabila bedah siasat dilakukan terhadapnya.
Shahrom berkata demikian ketika pegawai pengendali inkues itu Fatin Hadni Khairudin membuat soalan pemeriksaan berhubung kepatahan tulang rusuk di belakang Adib. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
https://malaysiagazette.com/blog/2019/07/03/laporan-bedah-siasat-adib-tak-lengkap-saksi-ke-29/