Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Azhar Azizan Harun berkata, Perkara 119 (4) Perlembagaan perlu dipinda bagi membolehkan pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik.

Bercakap dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini, katanya, pindaan turut perlu dilakukan bagi Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pengundi)

Menurut beliau, pindaan peraturan itu perlu dibentangkan di Parlimen tetapi tidak memerlukan kelulusan Dewan Rakyat.

Ia memerlukan majoriti dua pertiga Dewan Rakyat untuk diluluskan.

“Pindaan peraturan pilihan raya ini walaupun di bawah kuasa saya ia perlu dibentangkan di Parlimen, tak perlu diluluskan hanya dibentangkan,” katanya.

Pembentangan itu, katanya adalah untuk pengetahuan Dewan Rakyat berdasarkan peraturan yang ditetapkan tanpa perlu mendapat kelulusan dalam kalangan anggota kerana ia bukanlah undang-undang.

Pada ketika ini, setiap warganegara Malaysia perlu mengemukakan permohonan pendaftaran pengundi menerusi Borang A.

Azhar berkata, sekiranya pendaftaran automatik dilaksanakan, pindaan harus dibuat mengikut peraturan sedia ada.

“Perkara mengenai had mengundi 18 tahun dan pendaftaran automatik merupakan perkara struktural, perkara polisi yang perlu didukung oleh kerajaan dan Parlimen bukan SPR.

“Saya sebagai pihak SPR berkecuali dalam hal ini kerana kita mengikut kerangka undang-undang yang ada,” katanya.

Perlembagaan Persekutuan menetapkan umur 21 tahun sebagai had kelayakan mengundi.

Negara sudah melalui 14 Pilihan Raya Umum (PRU) dari PRU-1 (1959) hingga PRU-14, baru-baru ini.

Sebelum 1970-an, had layak mengundi di seluruh negara demokrasi ialah 21 tahun ke atas.

Kementerian Belia dan Sukan akan membentangkan pindaan Perkara 119 (1) untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat hari ini bagi menurunkan umur minimum mengundi kepada 18 tahun. -MalaysiaGazette