Irfan Wafiy disahkan mengidap penyakit Myokimia kesan pencemaran toksik di Pasir Gudang.
Irfan Wafiy disahkan mengidap penyakit Myokimia kesan pencemaran toksik di Pasir Gudang.

KUALA LUMPUR – Norlela Abu Hashim, ibu kepada Irfan Wafiy, 12, yang disahkan menghidap Myokimia akibat pencemaran toksik di Pasir Gudang akan memfailkan saman kepada pihak yang bertanggungjawab menyebabkan masalah kesihatan dialami mereka.

Ketika ini, ibu berusia 45 tahun itu sedang mengumpul bukti dari mangsa pencemaran toksik itu, sebelum memfaikan kes berkenaan ke mahkamah bulan ini menuntut saman RM10 juta.

Katanya, sejak kejadian itu, kebajikan mangsa termasuk anaknya Irfan Wafiy yang kini berdepan penyakit seakan Parkison tidak mendapat pembelaan dari pihak berkenaan.

“Kita masih sedang mengumpulkan bukti dan akan failkan kes ke mahkamah bulan ini kerana kita nak kumpulkan laporan perubatan mangsa.

“Sebab kita tengok tak ada pembelaan untuk mangsa sampaikan ada yang mata bermasalah tak boleh kawal pandangan, serangan saraf macam anak saya, ada yang sering sesak nafas dan pengsan.

“Jadi saya rasa kena saman sekurang-kurangnya RM10 juta untuk mangsa yang terjejas lebih kurang 40 hingga 50 orang ini sebab kita tak tahu masa depan kesihatan macam mana, berapa lama rawatan atau kesan jangka panjang,” katanya seperti dipetik Sinar Harian, hari ini.

Difahamkan, semua mangsa termasuk pencemaran Sungai Kim Kim dan pencemaran terbaharu Jun lalu kini bersatu di bawah Persatuan Kebajikan Mangsa-mangsa Toksik Pasir Gudang.

Anak Norlela, Irfan Wafiy, disahkan menghidap Myokimia menyebabkan anggota badannya menggeletar dan aktiviti harian murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Dahlia itu terbatas termasuk untuk berjalan.

Menurut Norlela, Irfan kini tidak dapat lagi melakukan aktiviti harian seperti biasa selepas menjadi mangsa pencemaran Sungai Kim Kim Mac lalu dan terlantar di hospital selama 10 hari.

“Balik sekolah selalunya Irfan main bola, kayuh basikal waktu petang tetapi sejak sakit memang tidak boleh buat apa-apa. Cuma belajar dalam rumah, makan ubat dan tidur,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast