KUALA LUMPUR – UMNO akan terus menjadi sebuah parti politik yang dimangsakan meskipun parti itu tidak dipimpin oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini masih lagi memegang jawatan sebagai presiden.
Demikian pandangan pemerhati politik, Datuk Dr Ramlah Adam setelah melihat senario politik yang berlaku pada hari ini apabila seorang demi seorang pemimpin parti itu diheret kemuka pengadilan.
Menurutnya, UMNO yang pernah berjasa kini sedang berdepan hukuman dan pemimpinnya yang berjuang untuk mempertahankan kedaulatan Melayu sedang dicarik-carik kesalahannya.
Katanya, tidak kira siapa yang menjadi kemudi dalam parti itu, hakikatnya pemimpin-pemimpin UMNO kini sedang melalui situasi keperitan.
“Sebagaimana yang kita lihat berlaku kepada Datuk Seri Najib Razak yang pernah menjadi Presiden dalam UMNO, begitu jugalah yang kini dihadapi kepada Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Dalam situasi sekarang ini tidak kira siapa sahaja yang memimpin UMNO, orang itu pasti akan mengalami situasi sukar dan saya percaya ia merupakan usaha untuk melemahkan UMNO,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi.
Beliau diminta mengulas mengenai kesediaan Ahmad Zahid yang merupakan Ahli Parlimen Bagan Datoh yang mengumumkan untuk kembali memimpin UMNO selepas bercuti selama enam bulan.
Ahmad Zahid mengumumkan perkara itu hujung bulan lalu ketika berucap pada Majlis Hari Raya Aidilfitri di Sungai Sumum.
Mengulas lanjut, Ramlah berkata, beliau kesal apabila melihat situasi politik di Malaysia yang kini tidak lagi berpegang kepada prinsip demokrasi yang ikhlas ekoran ahli politiknya sendiri sudah menjadikan kuasa sebagai satu ‘alat kepentingan’ bagi dipergunakan untuk menghukum seteru politiknya setelah mereka berkuasa.
Ujarnya, tidak seperti dahulu, politik menjadi satu kaedah dalam menstabilkan negara dengan rakyatnya yang berbilang kaum dan pentadbiran negara menjadi seimbang sejajar arus pemodenan dalam masyarakat.
Dalam pada itu, Ramlah turut mempersoalkan tindakan sesetangah pihak dalam kerajaan yang dilihat cuba menggunakan kuasa menekan UMNO seolah-olah ada niat untuk menguburkan parti keramat orang Melayu itu.
Katanya, adalah tidak adil untuk mengenakan tindakan keras terhadap pemimpin UMNO sedangkan, ada juga orang politik dalam kerajaan yang diketahui umum terpalit dengan pelbagai skandal yang kemudiannya disepikan setelah berkuasa.
“Sebagaimana yang kita ketahui ada juga pemimpin dalam kerajaan pernah dibicarakan atas beberapa salah laku.
“Namun, selepas mereka berkuasa semua yang direkodkan terpadam dan mereka pula bertindak menggunakan kuasa seolah-olah mahu membalas dendam.
“Mereka dengan mudah menggunakan kuasa untuk mengerah anggota kerajaan bertindak mengikut bidang kuasa yang ada,” ujarnya. – MalaysiaGazette