Mohamad Sabu bercakap kepada media di lobi Parlimen. foto AFFAN FAUZI, 08 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Mohamad Sabu menyifatkan pelawaan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya semua parti politik Melayu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai jemputan yang logik.

Presiden Parti Amanah Negara (PAN) itu berkata, seruan Pengerusi PPBM itu sejajar dengan usaha Pakatan Harapan (PH) yang sedang berusaha menyatukan semua rakyat di bawah perikatan itu.

“Memang parti politik mahu parti dia kuat tapi itu hak ahli parti lain (mempertimbangkannya).

“Walau bagaimanapun orang-orang Melayu masih ada kekuatan terutamanyta dalam PH supaya kerajaan seimbang dan dilihat lebih kuat pada masa hadapan.

“Maka pelawaan Tun mahathir pelawaan logik,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen pagi tadi.

Ditanya adakah beliau akan memanjangkan perkara itu ke Mesyuarat Majlis Presiden PH petang ini, Ahli Parlimen Kota Raja itu memberitahu, beliau tidak tahu sama ada ia akan dibincangkan.

Katanya, soal mengajak Melayu dan kesemua rakyat bersama di bawah payung PH merupakan seruan yang diusahakan pihaknya ketika ini.

“Kita pergi ke kubu-kubu Pas di Kedah supaya menyedarkan mereka bahawa PH akan terus memerintah pada pilihan raya akan datang.

“Malah penerimaan Melayu terhadap pemerintahan PH semakin meningkat terutama selepas sahnya perkahwinan Pas dan UMNO,” tambah beliau.- MalaysiaGazette