Menteri Besar Perak, Datuk Sri Ahmad Faizal Azumu bergambar kenangan bersama petugas media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 11 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang disiasat atas tuduhan merogol pembantu rumah telah dihadkan bagi tugas exco kerajaan negeri yang disandangnya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Choo King tidak boleh menghadiri beberapa tugas penting antaranya membuat keputusan dalam mesyuarat exco, Mesyuarat Lembaga Perumahan Perak dan sebagainya.

Katanya,  ia sebagai langkah bagi memastikan pemimpin berkenaan tidak mengganggu proses siasatan sedang dihadapinya namun dia masih boleh hadir ke pejabat seperti biasa.

“Sudah dihadkan. Saya setuju, kita tak nak dia ganggu proses siasatan, maka untuk tujuan seiring yang ada kuasa dalam membuat keputusan dalam beberapa mesyuarat, mesyuarat exco, mesyuarat lembaga perumahan dan sebagainya, mungkin itu kita tangguhkan dulu, beliau tak perlu hadir.

“Namun saya tak boleh beri tempoh spesifik (hadkan tugas),” katanya ketika ditanya pemberita di lobi Parlimen petang tadi.

Malah beliau juga ditanya berkemungkinan pemimpin itu direhatkan terus daripada jawatan exco sekiranya siasatan polis mengambil masa yang panjang.

Mengakui hakikat itu, Ahmad Faizal berkata, exco berkenaan mungkin akan bercuti atau direhatkan sementara daripada tugas pentadbiran sekiranya siasatan polis mengambil masa yang lama.

Menurutnya lagi, buat masa ini beliau akan berbincang dengan Exco berkenaan dan mendengar nasihat kepimpinan parti sebelum mengambil sebarang keputusan.

“Sekarang ini cuma ada satu siasatan, bukan ada pendakwaan jenayah lagi, maka saya fikir boleh berjalan seperti biasa.

“Namun, saya fikir jika siasatan ini berlanjutan dalam satu jangka masa yang panjang, mungkin boleh dinasihatkan untuk beliau mengambil cuti,’ tegasnya lagi.

Ditanya mengenai majlis mengangkat sumpah yang terpaksa ditangguhkan oleh baginda Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Ahmad Faizal mengesahkan majlis mengangkat sumpah yang sepatutnya berlangsung kelmarin ditangguh disebabkan siasatan polis terhadap wakil rakyat DAP itu.

“Tidak sesuai jika saya teruskan majlis angkat sumpah kerana exco terbabit sepatutnya turut sama mengangkat sumpah.

“Malah majlis angkat sumpah sepatutnya hari ini tapi ditangguhkan dan sebab itu saya boleh datang ke Parlimen.

“Selain itu majlis mesyuarat exco juga ditangguh sebab saya perlu berada di Kuala Lumpur dan ada mesyuarat Lembaga Pengampunan dengan Sultan Perak,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast