Aminuddin Yahaya
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Aminuddin Yahaya bercakap pada sidang media sempena Ijtimak Ulama dan Daie Ummah anjuran Gerakan Pembela Ummah di KL International Hotel, Chow Kit, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 13 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) hari ini komited mempertahankan Akta Hasutan 1948 kerana ia adalah instrumen yang dapat mempertahankan institusi raja, hak Bumiputera dan Islam di negara.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, sekiranya akta zaman sebelum merdeka itu dihapuskan, kelak Raja-Raja Melayu, Bumiputera dan agama Islam boleh dihina oleh mana-mana pihak secara terbuka.

“Kita mempertahankan Akta Hasutan kerana ia mempertahankan institusi raja, hak Bumiputera dan hak Islam

“Kalau kita hapuskan Akta Hasutan bermakna sesiapa boleh menghina Raja, boleh menghina hak Bumiputera dan boleh dimansuhkan Perkara 153

“Bila bercakap soal Islam di negara ini, ia tidak boleh berpisah dengan orang Melayu kerana ia sinonim dengan Islam,” katanya pada sidang media selepas program Ijtimak Ulamak dan Daie Ummah di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong berkata, Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan pada tahun ini.

Menurutnya, kerajaan membuat keputusan pada mesyuarat Kabinet untuk memansuhkan akta itu dan kini sedang melibat pelbagai faktor bagi melaksanakannya.

Isu Akta Hasutan 1948 kembali hangat apabila pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin dihukum penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam Isnin lalu kerana menerbitkan perkataan menghina Sultan Selangor, termasuk membabitkan isu agama pada 2012.

Wan Ji, didakwa pada 10 September 2014, menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah, termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook (FB) dengan nama wanji.attaaduddi.

Bagaimanapun Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Abdul Halim Aman semalam menerima permohonan Wan Ji untuk mendapatkan penangguhan hukuman penjara atas kesalahan menghasut.

Permohonan dikemukakan peguam Radzlan Jalaluddin, manakala pihak pendakwaan pula diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah.

Terdahulu pada 9 Julai lalu Abdul Halim mendapati Wan Ji bersalah menghasut dan menanam kebencian rakyat terhadap institusi raja-raja. – MalaysiaGazette