KUALA LUMPUR – Tiga puluh empat daripada 54 kementerian, jabatan dan badan berkanun peringkat Persekutuan mencapai tahap cemerlang dalam pengurusan kewangan pada 2018, kata Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid.

Jabatan Audit Negara dalam satu kenyataan media memaklumkan ,daripada 54 yang diaudit itu, 14 kementerian, jabatan dan badan berkanun pula mencapai tahap baik, diikuti tahap memuaskan (lima) dan tahap kurang memuaskan (satu).

Kenyataan media itu merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 1 mengenai Pengurusan Kewangan, aktiviti, syarikat bagi kementerian, jabatan, agensi dan badan berkanun Persekutuan dan Kerajaan Negeri 2018 yang dibentangkan di Parlimen hari ini (Isnin).

Nik Azman berkata, di peringkat negeri pula, 83 kementerian, jabatan dan agensi mencapai tahap cemerlang, diikuti tahap baik (69), tahap memuaskan (26), tahap kurang memuaskan (13) dan tahap tidak memuaskan (dua).

Mengenai pengauditan prestasi bagi program, aktiviti, projek kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri, beliau berkata, secara umumnya ia dilaksanakan mengikut tujuan ditetapkan namun terdapat beberapa kelemahan telah dikenal pasti.

Antara kelemahan itu melibatkan kelewatan pembekalan peralatan, projek pembinaan terbengkalai atau melewati jadual, kes pembayaran tidak teratur, kelemahan pentadbiran kontrak, tidak mengikut spesifikasi dan tidak berkualiti selain ketidakcekapan dalam pengurusan aset dan pungutan hasil kerajaan.

Bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil oleh ketua jabatan berkenaan, Ketua Audit Negara mengemukakan lapan syor terhadap Pengurusan Kewangan Kementerian, Jabatan dan Badan Berkanun Persekutuan.

Selain itu, 99 syor dikemukakan terhadap aktiviti kementerian, jabatan dan badan berkanun Persekutuan, 34 syor pula terhadap pengurusan syarikat Kerajaan Persekutuan serta 100 syor bagi pengurusan aktiviti kementerian, jabatan, agensi dan pengurusan syarikat Kerajaan Negeri. – MalaysiaGazette