Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador (tengah) hadir pada Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Batalion 4 PGA Semenyih, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 16 JULAI 2019

SEMENYIH – Polis akan memperluaskan skop siasatan kes penyebaran video seks membabitkan seorang menteri yang melibatkan pegawai kanan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya memerlukan sedikit masa bagi menyelesaikan kes yang rumit itu selain tidak mahu bertindak tergopoh-gapah.

“Kita sedang menyiasat ke arah itulah (pegawai kanan ADUN) dan setiap sudut. Kalau dia menggunakan media sosial menyebarkan video sebegini ia satu kesalahan di bawah undag undang. Jadi itu sebab siasatan menjurus ke arah itu.

“Jadi bab siasatan itu, mereka yang kita telah dikenalpasti terlibat akan diambil tindakan.

“Kesalahan sebegini tak baiklah. Kes ini rumit melibatkan politik jadi polis dah ambil tindakan secara berhati-hati dan tidak mahu tergesa-gesa bertindak kerana takut ada yang teraniaya, jadi tindakan ikut SOP siasatan” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 231 pegawai dalam perkhidmatan dan yang sudah bersara, yang berkhidmat semasa darurat di Kem Pasukan Gerakan Am, Batalion 4, di sini.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata, polis bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara untuk melakukan tindakan selanjutnya.

“Kita sentiasa merujuk JPM dan begitu juga dengan fail laporan penuh dan dia pula akan hantar kembali kepada PDRM dengan arahan tertentu sebelum kami melengkapkan segala keperluan kemaskini bukti yang diperlukan sebelum menyerahkan semula fail siasatan kepada Jabatan Peguam.

“Jika Peguam Negara tak puas hati, dia akan berikan arahan lanjut maka kita perlu tunggu,” ujarnya.

Ditanya sama ada tangkapan akan menyusul, Abdul Hamid berkata, setakat ini tiada tangkapan baharu dilakukan dan polis dalam proses soal siasat ke atas mereka yang terbabit.

“Kalau ada apa-apa tangkapan nanti pun ia adalah daripada hasil siasatan nanti,” katanya.

Semalam enam individu termasuk Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz direman enam hari bagi membantu siasatan kes penyebaran video itu.

Kesemua suspek direman sehingga Sabtu ini mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998.- MalaysiaGazette