Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Tiada siapa yang boleh menafikan peranan utama Tun Dr. Mahathir Mohamad sehingga pindaan menurunkan had usia mengundi pilihan raya dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Tindakan perdana menteri meluangkan masa untuk bertemu secara peribadi dengan blok pembangkang di Dewan Rakyat menampilkan kepimpinan yang berhemah tinggi sesuai dengan peranannya sebagai negarawan ulung Malaysia, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu menyifatkan kelulusan pindaan mencerminkan kemajuan Malaysia menuju demokrasi
yang matang dan sokongan padu terhadap Dr. Mahathir sebagai perdana menteri.

“Pindaan Perkara 119(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang diterima dengan sebulat suara oleh semua Ahli Parlimen yang hadir menandakan sokongan semua pihak terhadap usaha Kerajaan untuk melaksanakan reformasi institusi di bawah pentadbiran Malaysia Baharu.

“Kejayaan tersebut merupakan satu mercu tanda dalam sejarah perlembagaan khususnya bagi golongan muda kerana mereka diberdaya untuk memilih wakil rakyat dan mengangkat tanggungjawab sebagai rakan kongsi pembina bangsa bersama anak watan yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Azmin berkata, tidak dapat dinafikan anak muda Malaysia akan mempunyai peranan besar dalam proses demokrasi dan menentukan hala tuju bangsa dan negara.

Katanya, inilah politik baharu dalam Malaysia Baharu yang memberikan keutamaan kepada politik matang, progresif dan membina yang berpaksikan rakyat.

Dengan lain perkataan, bukan politik untuk menagih kekuasaan dengan apa cara sekali pun, termasuk mengamalkan politik keji, kotor dan jijik.

Tambahnya, kejayaan semalam juga adalah hasil daripada ketekunan serta komitmen yang ditampilkan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Belia dan Sukan, dalam melakukan temu tembung dengan Ahli-Ahli Parlimen, termasuk barisan pembangkang dan pemegang taruh. – MalaysiaGazette