KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan kemnya berkemungkinan akan meninggalkan PKR lalu berhijrah ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Demikian pandangan seorang penganalisis politik, Prof. Dr Ahmad Martadha selepas melihat perkembangan terkini yang berlaku dalam parti tersebut.
Katanya, hubungan tercalar antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya tidak lagi dapat disembunyikan.
“Apa yang kita saksikan adalah perpecahan PKR iaitu kem Azmin dan Anwar. Kemungkinan kem Azmin kalau kritikan demi kritikan semakin memburuk dan terbuka maka tidak mustahil mereka (kem Azmin) beralih ke Bersatu, ia sebagai salah satu alternatif untuk mereka berjuang kerana rata-rata kem Azmin adalah Melayu,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Namun sekiranya ia menjadi kenyataan, menurut Ahmad, Pakatan Harapan secara keseluruhannya juga bakal berhadapan dengan impak besar menerusi respon bantahan daripada PKR.
‘Perang’ di antara kedua-dua pemimpin ini tambah pensyarah kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu tidak lain tidak bukan berpunca daripada peluang dan ruang yang lebih diberikan kepada Mohamed Azmin oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Senario semasa itu, ujar Martadha lagi membuatkan Anwar yang menunggu giliran menggantikan Mahathir merasa goyah apabila timbalannya dilihat lebih mendapat kepercayaan berbanding dirinya.
“Azmin dilihat tokoh yang akan menggantikan Tun M sebab itu konflik (dengan Anwar) bermula. Azmin dilihat diberi kepercayaan lebih oleh Tun M secara tidak langsung keuddukan Anwar agak tergugat.
“Kedudukan Anwar goyah apabila Azmin diberi ruang dan peluang oleh Tun M sendiri terutama apabila melihat Azmin diberi jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi,” tambahnya.
Semenjak video seks yang dikaitkan dengan Azmin tular baru-baru ini, Anwar dilihat mengeluarkan kenyataan yang tidak menyebelahi timbalannya.
Bahkan Presiden PKR itu mencadangkan agar Azmin bercuti daripada tugasnya dalam kerajaan dan parti sekiranya siasatan mendapati ia adalah tulen. – MalaysiaGazette