Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada retreat pimpinan PKR di Grand Lexis Hibiscus, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 20 JULAI 2019

PORT DICKSON – Akar umbi Parti Keadilan Rakyat mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim berhenti memberikan kenyataan mengenai kemelut kepimpinan parti itu buat seketika.

Presiden PKR itu memberitahu, beliau hanya akan mendengar pandangan daripada akar umbi parti dan memberikan kenyataan berhubung isu ini esok.

“Peserta tidak bagi saya komen lagi, jadi saya kena patuh kepada mereka. Mereka suruh habiskan temurapat ini dahulu, dengar pandangan baru boleh buat ulasan.

“Saya akan dengar semua pandangan. Naib Presiden, Xavier Jayakumar dan Tian Chua telah memberikan ucapan mereka. Tiada komen untuk hari ini, atas nasihat ahli,” katanya kepada media pada hari kedua Program Temu Rapat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Sesi 2018/2019, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menafikan PKR kini mengalami masalah dalaman kepimpinan terutamanya membabitkan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurut beliau, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan supaya setiap ahli parti itu mengukuhkan kedudukan gabungan tersebut dan bukannya berebut kuasa.

Malah, katanya, parti tidak mengalami pergeseran politik sebagaimana yang dilaporkan media.

“Saya tengok laporan tak betul. Dia kata PH perlu kukuh.

“Media kata bergaduh dalam PKR. Saya diminta jangan komen dengar dulu esok selesai baru kita komen,” katanya.

Dalam ucapan perasmian Temu Rapat PKR semalam, Dr Mahathir menyeru pimpinan PKR mengambil berat pandangan rakyat terhadap pertelagahan secara terbuka antara Anwar dan Azmin. -MalaysiaGazette