Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dipersoal mengapa yuran perkhidmatan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dinaikkan secara tiba-tiba.

Kenaikan itu bermula bagi Semester 2, 2019/2020 dan seterusnya.

Dengan peningkatan itu, yuran perkhidmatan meningkat daripada RM329 kepada RM700 bagi pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kejuruteraan manakala bagi kursus ijazah dalam bidang lain-lain, yuran perkhidmatan meningkat dari RM314 kepada RM685.

Dengan kenaikan itu bermakna penuntut peringkat ijazah pertama berdepan dengan kenaikan yuran tersebut antara 112.8 peratus dan 118.2 peratus manakala yuran perkhidmatan bagi semua pengajian peringkat sarjana pula naik sebanyak RM321 dari RM509 kepada RM830, peningkatan sebanyak 63 peratus.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bertanya, mana perginya dasar Peduli Rakyat yang dilaung-laungkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan.

Soalnya, apa respons Maszlee yang kononnya memahami penderitaan rakyat.

“Ke mana perginya dasar “peduli rakyat”? Apa yang jelas di sini, kerajaan PH TIDAK PEDULI rakyat!

“Adakah peningkatan kos rakyat ini terkandung di dalam manifesto PH?

“Harap Dr. Maszlee mengesahkan kesahihan surat ini dan tidak lagi menyalahkan Wee Ka Siong.,” sindirnya. – MalaysiaGazette