Joshua Johan Bechler

KUALA LUMPUR – Pemain berdarah kacukan Malaysia-Jerman, Joshua Johan Bechler yang beraksi bersama skuad Bawah 17 Tahun (B-17) Rot-Weiss Frankfurt merupakan antara pemain remaja mendapat perhatian pemerhati bola sepak di Jerman.

Justeru, satu pertemuan antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Joshua baru-baru ini bagi membincangkan kemungkinan beliau diserap ke dalam skuad B-19 kebangsaan berjalan lancar, selepas berjaya mengemukakan dokumentasi sahih sebagai bukti memiliki pertalian darah di Malaysia.

Mencipta nama dalam kancah Hessenliga B-17, satu daripada lima cabang Bundesliga 2 B-17, pertahanan kiri berusia 16 tahun itu yang digelar ‘Bolt’ kerana memiliki kepantasan luar biasa menjadi buruan di Jerman dengan lebih 10 kelab profesional dilapor berminat mendapatkan khidmatnya.

Dia yang turut diberi jolokan ‘glucksbringe’ yang membawa maksud pembawa tuah dalam kalangan rakan sepasukan, sebelum ini pernah dilamar SV Wehen Wiesbaden, FSV Frankfurt dan SV Sandhaasen – tiga pasukan bersaing dalam divisyen liga remaja tertinggi di Jerman, Bundesliga B-17.

Tidak terhenti di situ, nama Joshua terus berkembang di Eropah dengan beberapa skuad remaja kelab profesional di England – Brighton, Fulham, Leeds United dan Queen Park Rangers antara yang pernah menawarkan beliau peluang berlatih selain menguji kemampuannya bersama skuad remaja mereka.

Bernama berpeluang menemu bual Joshua secara eksklusif ketika beliau bercuti di Kuala Lumpur baru-baru ini, sebelum kembali ke Jerman untuk menyertai kem persediaan pramusim.

Walaupun beliau memiliki potensi dan perjalanan karier yang cerah di Jerman, Joshua berkata, impiannya sejak kecil adalah mewakili dan mengharumkan nama Malaysia, negara kelahiran ibunya yang merupakan seorang anak jati Selangor.

“Saya sentiasa memasang impian untuk mewakili Malaysia. Kami mempunyai keluarga Malaysia yang besar di Jerman dan mereka semua teruja melihat saya menyarung jersi Malaysia, bagaimanapun saya hanya mengikut kata hati saya.

“Mengetahui bahawa bola sepak Malaysia semakin baik, dan sekiranya saya menjadi satu daripada faktor peningkatan itu, ia amat membanggakan saya. Seperti remaja lain, saya juga ingin membantu meningkatkan mutu bola sepak negara,” katanya.

Mengakui JDT dan Selangor mempunyai tempat istimewa dalam hatinya, adik kepada penjaga gol JDT III, Julian Johan itu berkata, beliau sering mengikuti perkembangan skuad Harimau Malaya selain menonton saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Katanya, Liga-M mempunyai pemain berkualiti tinggi dan turut teruja dengan kemahiran dimiliki penyerang JDT Muhammad Safawi Rasid dan pemain sayap Pahang yang juga pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh.

“Saya banyak mengetahui mengenai bola sepak Malaysia dari Selangor dan JDT. Saya juga menonton Liga Malaysia secara dalam talian. Saya turut memerhatikan banyak pemain berbakat seperti Safawi dan Sumareh. Sangat menarik, Malaysia sebenarnya mempunyai potensi besar,” katanya.

Joshua, bagaimanapun menjelaskan dalam tempoh dua hingga tiga tahun mendatang, beliau lebih selesa mengembangkan bakatnya di Jerman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast