KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) disifatkan syok sendiri dan berperangai seperti pembangkang apabila masih menunding hari dan seringkali melabelkan Datuk Seri Najib Razak sebagai perompak dan pembohong.

Malah, Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat masih lagi terus mengulangi ucapan sama bahawa Najib mencuri walaupun pada masa kes berkaitan dakwaan-dakwaan itu sedang berjalan di mahkamah.

Setiausaha Penerangan MIC Kebangsaan, A Subash Chandrabose berkata, PH dilihat tidak mampu bercakap tentang sesuatu yang progresif tentang rakyat atau sekurang-kurangnya melaksanakan setiap janji termaktub dalam manifesto PH.

“Saya sebenarnya cukup geram apabila pemimpin nombor satu negara terus bercakap tentang Najib walhal kesnya kini sudah masuk mahkamah. Masih terus bercakap sahaja tentang itu, mengapa?

“Rakyat sudah tidak minat lagi dengan semua ini, mereka mahu sesuatu yang progresif kerana hala tuju ketika ini tidak nampak dengan begitu jelas lagi walaupun sudah lebih setahun memerintah.

“Sebenarnya, jika Kerajaan Baharu betul-betul ikhlas membantu rakyat, pimpinan di atas sana sepatutnya mendapatkan maklumat dari bawah iaitu rakyat. Kalau sebelum ini PH begitu lantang perjuangkan kebajikan rakyat, kini rakyat merana dan kamu masih berpolitik sakan?

“Seharusnya kerajaan PH menerima maklumat daripada rakyat, buat kajian dan laksanakan polisi! Tetapi apa yang berlaku ialah kerajaan sekarang buat polisi dan memaksa rakyat menurut perintah! Apabila rakyat membantah, barulah terhegeh-hegeh buat kajian?,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sambil memberikan beberapa contoh termasuk apa yang termaktub dalam manifesto sebelum kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-14, kata Subash, ketika itu semuanya boleh dan mampu dijadikan realiti.

Bagaimanapun, katanya, sesudah menang, hampir semua itu tidak mampu dilaksanakan, sekali gus memperlihatkan pengkhianatan kepada rakyat demi mendapatkan undi dan kuasa.

“Saya berikan contoh, kini rakyat yang hidup di luar bandar sukar untuk menjalankan kehidupan harian dengan keadaan ekonomi sekarang apatah lagi semuanya terpaksa berjimat, lebih-lebih lagi ramai yang sudah hilang kerja, tiada kenaikan gaji.

“Apabila kuasa berbelanja kurang, maka kuranglah aliran wang, perlahanlah pergerakan ekonomi rakyat.

“Kerajaan berjanji akan hapuskan tol jika menang PRU14. Sudah setahun tetapi kerajaan baru bercadang untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk meneliti janji-janji manifesto. Ada rasa geram tak?

“Kita melihat betapa kecewanya para mahasiswa kita sehingga berarak di jalan raya menuntut kerajaan untuk memansuhkan hutang PTPTN yang sebenarnya juga janji PH sebelum menang. Kini isu ini masih dalam kajian dan pelbagai bagai pusingan ‘U’ saban hari,” ujarnya.

Kata Pemuda MIC itu lagi, kerajaan PH telah berjanji untuk melahirkan 1 juta peluang pekerjaan baru selepas memenangi PRU14 namun statistik pula menunjukkan seramai 400,000 golongan muda menganggur ketika ini.

“Untuk perdana menteri, angka itu adalah fenomena biasa. Jadi apa sudah jadi dengan janji sebelum ini?

“Hendak bagi lebih banyak contoh tidak cukup tangan, dulu mereka ini yang melalak tidak bertempat mengkritik kerajaan terdahulu. Malah menabur pelbagai fitnah kononnya rakyat sedang dianaiya, jadi apa yang kamu semua sedang buat kini?

“Tiada perancangan dan hala tuju jelas ke arah Malaysia Baharu menyebabkan rakyat mula kecewa ketika ini. Tempoh setahun kamu memerintah sudah, cukuplah dengan hanya sekadar menuding jari kemudian membuat pusingan ‘U’ tidak habis-habis,” tegasnya. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast