Najib Razak

KUALA LUMPUR – Isu skandal video seks pemimpin politik bukan sesuatu yang baru berlaku tetapi pernah terjadi sejak tahun 1998 lagi.

Lantaran itu, dengan penuh maksud tersirat, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mengemukakan perbezaan pendirian Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu tersebut.

Tulis Najib:

Tahun 1998: Ini isu moral, bukan isu politik.

Tahun 2019: Ini isu politik, bukan isu moral.

Dr Mahathir merupakan perdana menteri pada kedua-dua kejadian penyebaran video seks membabitkan Kabinet kerajaan.

Kejadian yang berlaku pada tahun 1998 membabitkan Anwar yang merupakan timbalan perdana menteri dan beliau dipenjarakan.

Pada tahun ini, muncul lagi video skandal seks juga mengaitkan seorang menteri kanan yang belum terbukti kesahihannya.

Walaupun tidak menyebut nama sesiapa, dipercayai status Najib itu merujuk kepada pendirian Dr Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri Ke-4 dan kini  Perdana Menteri ke-7.

Cuma pendirian Dr Mahathir sudah berubah.

Posting tersebut mendapat lebih 5,000 ‘likes’ selain daripada beribu-ribu komen daripada netizen yang meluahkan pandangan mereka.

Rata-ratanya bukan sahaja bersetuju, malah juga turut meneka siapakah yang disebutkan itu.

Semalam, Tun Mahathir berkata, kemunculan video semburit ‘Sandakan’ itu sebenarnya tidak lebih daripada isu politik dan bukannya isu moral serta perlu ditangani dengan secara politik juga.

Kata Dr Mahathir, video itu dibuat bagi menghalang kejayaan politik individu tertentu dengan mengharapkan penyingkiran pemimpin tersebut.

Nada itu tidak serupa pada 1998 ketika Anwar berhadapan dengan tuduhan liwat.

Ketika itu Dr Mahathir memberikan alasan terpaksa memecat Anwar erana masalah moral. –MalaysiaGazette