KUALA LUMPUR – Walaupun sebelum menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14), bukan sahaja pemimpin India dalam Pakatan Harapan (PH) namun hampir semua pemimpin dalam perikatan itu berjanji menjaga kebajikan masyarakat yang dikatakan terabai untuk sekian lama.
Bagaimanapun apabila kuasa berada dalam tangan, lain pula yang jadinya.
Semuanya seolah-olah tunggang terbalik, malah tidak kedengaran lagi suara pemimpin India yang suatu ketika dahulu begitu lantang.
Sebagai contoh, pelajar dalam masyarakat India terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke program matrikulasi 2018 dan 2019 terus menghadapi masalah untuk mengikutinya sehingga menyaksikan Ahli Dewan Negara, Datuk T Mohan meluahkan rasa kecewa.
Mohan yang juga Naib Presiden MIC berkata, jawapan yang diberikan Kementerian Pendidikan Malaysia ketika sidang Dewan Negara tentang jumlah pengambilan pelajar India lepasan SPM hanya omong kosong.
Katanya, kerajaan PH telah memperuntuk 1,804 tempat dan 1,212 pelajar India mengikuti program matrikulasi walhal sebelum ini kerajaan Barisan Nasional (BN) telah memperuntukan 2,200 tempat.
“Ini adalah satu penurunan yang cukup drastik, mengapa angka itu semakin berkurangan sedangkan melalui janji manifesto serta cakap-cakap atas pentas sebelum PRU itu sudah memberi bayangan yang sebaliknya.
“Untuk makluman, kerajaan BN sebelum ini melalui Pelan Tindakan Masyarakat India telah memperuntukkan 2,200 penempatan untuk pelajar lepasan SPM dari Masyarakat India ke matrikulasi pada tahun 2018.
“Walaupun pihak Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah kepimpinan Pakatan Harapan menafikan perkara tersebut dengan menyatakan ianya hanya sekadar ‘one off’ namun perkara itu telah didedahkan sendiri oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk P Kamalanathan itu tidak benar seperti didakwa PH.
“Jika kita teliti rekod pengambil yang terdahulu, kita akan lihat peningkatan dalam jumlah pengambilan pelajar India secara berperingkat pada setiap tahun bermula tahun 2009 lagi. Selepas pelancaran Pelan Tindakan Masyarakat India pada tahun 2017, jumlah tersebut telah ditetapkan pada kadar 2,200 untuk tahun seterusnya.
“Namun sedemikian, BN telah tetap dikritik oleh PH kerana kononnya tidak memberi peluang yang sewajarnya kepada masyarakat selama memerintah sebaliknya mereka boleh melaksanakan dasar lebih baik dari itu tapi apa sudah jadi sekarang,” katanya.
Mohan melontarkan persoalan bagaimana selama ini pimpinan PH begitu lantang mengkritik kononnya peluang tidak diberikan dengan sewajarnya namun apabila sudah mempunyai kuasa untuk mengubah kedudukan itu, mereka bukan sahaja ‘merampas’ hak kaun India, sebaliknya terus berpolitik.
“Apa yang sedang dilakukan oleh keempat-empat Menteri India ini yang pada awal lantikan begitu gah bercakap tentang perjuangan untuk masyarakat India tetapi kini bunyi pun tidak ada.
“Sebelum kamu-kamu ini berkuasa, dengan begitu hebat kamu mengkritik BN kononnya telah menzalimi masyarakat India, tidak cukup itu anda juga bergolek-golek di jalanan dengan mengadakan demonstrasi tentang bagaimana kebajikan tidak terjaga.
“Tetapi selepas berkuasa, bukan sahaja tidak nampak apa-apa yang di janjikan, apa yang telah di berikan itu juga telah di rampas atau di ubah kononnya semua itu hanya sekadar sementara sahaja.
“Sebenarnya adakah kita akan terbela di bawah kerajaan yang jelas langsung tidak berminat mahupun komited dalam menjaga hak serta kebajikan dan kepentingan masyarakat India di negara ini? Ini baru satu isu saya belum senaraikan yang lain lagi.
“Ini adalah satu pengkhianatan kepada ratusan pelajar yang sebenarnya lebih daripada layak, dan paling menyedihkan kini tidak ada pimpinan dalam kerajaan ketika yang sanggup bangkit berjuang atau bersuara dan melaksanakan apa yang telah dijanjikan. Malu, sangat memalukan,” tegasnya. – MalaysiaGazette