Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner, S. Shanmugamoorthy.

KUALA LUMPUR – Kekecohan suasana di Kompleks Mahkamah di sini hari ini dengan panggilan ancaman bom sehingga orang ramai diarahkan keluar kini sudah didapati selamat.

Kira-kira 300 orang terpaksa diarahkan keluar secara berkumpulan di perkarangan mahkamah sebelum pihak berkuasa seperti polis, unit pemusnah bom serta anjing pengesan melakukan pemeriksaan.

Bagaimanapun, selepas hampir satu jam membuat pemeriksaan di sekitar mahkamah khasnya di beberapa lokasi penting sedang berlangsungnya perbicaraan penting dan berprofil tinggi – polis mengesahkan kawasan itu kini selamat daripada sebarang ancaman.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner, S. Shanmugamoorthy masih ada kawasan luar perimeter di mahkamah masih diperiksa.

“Setakat ini clear. Pemeriksaan utama sudah selesai di beberapa tempat strategik dan buat masa ini kita tidak menjumpai apa-apa yang salah membawa kepada ancaman namun kita masih lagi teruskan pemeriksaan secara rapi. Saya sangat berpuas hati.

“Kami tidak akan mengatakan bahawa panggilan ancaman bom yang telah dibuat oleh seorang induvidu yang belum dikenali itu sebagai palsu sebaliknya kita masih menjalankan siasatan pada masa ini.

“Pemeriksaan masih berjalan dan orang awam dibenarkan masuk ke kompleks mahkamah, tentang kes-kes pula, sama ada di tangguh atau tidak terpulang kepada pentadbiran mahkamah tapi dari pihak kami, kawasan ini clear,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam pada itu ketika diminta mengulas adakah pemanggil telefon itu menyebut tentang kes berprofil tinggi SRC International yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Shanmugamoorthy menafikannya.

Sebaliknya, kata beliau, tidak kira seandainya kes berprofil tinggi seperti Najib atau tidak, pihaknya menjalankan tugas untuk  kepentingan awam tanpa mengira siapa.

“Tidak, si pemanggil tidak menyatakan sedemikian. Mari kita jangan terlalu taksub dengan perkara ini. Ini hanya panggilan yang tidak menyebut apa-apa.

“Pada kami, tidak kisahlah adakah ini kes Najib Razak atau kes lain, kita beri keutamaan kerana ini melibatkan keselamatan orang awam. Itu sahaja kepentingan kita. Saya tidak mahu ulas panjang kerana ini masih dalam siasatan,” tegasnya.

Orang ramai dilihat mula memasuki semula ke perkarangan mahkamah sejak pukul 2.15 petang tadi dengan kebanyakan yang kes yang ditangguhkan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast