KUALA LUMPUR – Otai Reformis 1998 tidak mempunyai niat untuk mencampuri urusan polis dalam siasatan kes video hubungan sejenis antara bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sentubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dengan pasangannya yang dikatakan seorang menteri kanan.
Sebaliknya, kumpulan itu mahu polis meyelesaikan siasatan kes berkenaan dengan segera dan membawa pelakunya ke muka pengadilan.
Timbalan Pengerusi Otai Reformis 1998, Mustafa Mansor berkata, pihaknya terpanggil untuk membuat teguran itu kerana mendapati polis telah menyerahkan kes itu kepada Peguam Negara untuk membuat keputusan.
Sepatutnya polis memanggil semua yang terlibat termasuk pelaku yang dikatakan mirip menteri kanan itu untuk siasatan dan selepas kertas siasatan selesai baharu diserahkan kepada Peguam Negara untuk mendapatkan keputusan sama ada mahu didakwa atau sebaliknya.
“Tetapi, nampak dalam kes ini, ia dicampak ke sana, dicampak ke sini sehingga menjadi panjang dan sudah melebih satu bulan belum ada apa-apa jawapan. Ini yang kita tidak mahu berlaku.
“Rakyat membuat keputusan mengubah kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada kerajaan Pakatan Harapan pada PRU14 Mei tahun lalu kerana mahukan perubahan dalam semua bidang, termasuk undang-undang.
“Dan, inilah yang kumpulan reformasi perjuangkan sejak 20 tahun lalu. Kita mahu sebuah kerajaan yang mementingkan kebajikan rakyat, menghormati dan kembali kepada Rule of Law sebenar dari yang berjawatan perdana menteri sehingga menteri, mesti ikut proses undang-undang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurut Mustafa, beliau yakin perubahan PRU14 itu adalah komitmen rakyat untuk melihat Malaysia ini ditadbir urus sebaik mungkin, tidak ada lagi ada sebarang kompromi atau sudah memegang kuasa, maka boleh buat apa sahaja.
Katanya, kumpulan Otai Reformis tidak mahu menjadi ‘yes man’ kepada mana-mana parti politik dan sekali-kali tidak akan tunduk kepada perlakuan yang bercanggah dengan undang-undang.
Apabila membuat kenyataan begitu tentu akan ada orang menuduh Otai Reformis anti polis, anti kerajaan PH.
“Kita tidak anti polis dan kita juga tidak anti kerajaan sekarang. Yang kita anti ialah kebodohan dan kecelaruan yang berlaku terutama melibatkan siasatan video intim pasangan sejenis.
“Kalau rompakan bertopeng, polis boleh selesai dalam dua tiga hari, macam mana kes video semburit sampai sekarang tidak dapat diselesaikan dan masih tidak ketemu jawapan, malah cuba mengalih perhatian.
“Ini yang saya katakan tidak adil. Pihak lain yang terlibat, pihak lain pula yang dipanggil untuk soal siasat dan direman,” katanya. – MalaysiaGazette