Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Shaharuddin Khalid (tengah) bersama pegawai menunjukkan antara nombor yang dibida pada sidang media mengenai bidaan nombor pendaftaran kenderaan siri Pulau Pinang di Kementerian Pengakutan, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 26 JULAI 2019

PUTRAJAYA – Selepas kerajaan membuat keputusan untuk membenarkan universiti awam mempunyai nombor pendaftaran khas kenderaan, kini syarikat korporat pula diberkan hak yang sama.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid, peluang sama turut diberikan kepada badan-badan korporat bertujuan untuk mengumpul dana.

“Di samping nombor plat khas kepada universiti awam, kita juga beri peluang kepada badan korporat untuk menjual nombor plat khas untuk kumpul dana tapi ada prosedur lain.

“Mereka kena pohon kepada JPJ dan kita akan beri seribu nombor plat khas dengan bayaran RM5 juta, tidak ada tamat tempoh tapi mereka kena jual nombor-nombor plat tersebut,” katanya dalam sidang medianya di Kementerian Pengangkutan, hari ini.

Tambah Shaharuddin, permohonan kepada itu sudah dibuka tetapi belum ada pihak yang tampil untuk membuat permohonan.

“Mereka kena kemukakan permohonan dan kita akan nilai, sebagai contoh BIMB (Bank Islam Malaysia Berhad) mahu buat permohonan, kita kena teliti dahulu permohonan itu supaya tidak bercanggah dengan negeri-negeri lain.

“Mereka boleh buat apa-apa juga nombor pendaftaran, tetapi kena kemukakan permohonan dan dinilai oleh JPJ, takut bercanggah dengan nombor yang sedia ada,” katanya lagi.

Khamis lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah memberikan kelonggaran kepada universiti awam untuk mempunyai nombor pendaftaran khas kenderaan bagi tujuan mengumpul dana penyelidikan dan pembangunan universiti.

Bayaran sebanyak RM500,000 dikenakan kepada mana-mana universiti yang mahu mendapatkan nombor-nombor khas itu berbanding RM1 juta yang dikenakan oleh kerajaan terdahulu.

Sebelum ini, kerajaan PH menghentikan pengeluaran nombor pendaftaran khas kepada badan bukan kerajaan (NGO) mahupun pihak persendirian. -MalaysiaGazette.